Sunday, January 23, 2011


  

I made this widget at MyFlashFetish.com.


NAMA: MOHAMAD ROSMIZI BIN MAHAMAD
PENSYARAH: DR. LUTHFI BIN ABD. RAHMAN

Winstedt dalam “A search for the objective vocabulary (Dalam Maier).


In the popular tales the Kedah dynasty begins with a tusked cannibal king, the son of an ogress; Blagden has shown that the legend is borrowed from India and is copied from the Buddhist Jataka tales; it is possible, however, that the story was adapted to symbolize that the ancestry of the dynasty is not purely Malay.

Berikut kata-kata emperialis barat iaitu R.O Winstedt, dipetik dalam Hendrik M.J. Maier (1988;61) yang bersifat kejam terhadap kesusasteraan Melayu, yang bukan sahaja menjurus dalam menjatuhkan keupayaan dan kreativiti Melayu dalam Hikayat Merong Mahawangsa, malah meruntuhkan kesemua tembok karya sastera agung Melayu dengan mengaitkan pelbagai andaian sesuai dengan penampilan sebagai pusat wacana kolonial. Bagi Zainal Kling (1;2009) Winstedt menjatuhkan keupayaan dan kreativiti Melayu kepada tahap amat remeh dan ‘miskin’ iaitu bermula ayat pertama pengenalannya tentang The History Of Classical Malay Literature beliau telah memburukkan keupayaan bangsa Melayu terhadap kesusasteraan mereka:
“Anyone who surveys the fields of Malay literature will be struck by the amazing abundance of the foreign flora and the rarity of indigenous growths. Malay folklore, even, is borrowed, most of it, from the vast storehouse of Indian legends, an early crop garnered in the Hindu period, and later in the Islamic”.  


            Kajian Winstedt yang dijalankan ke atas kesusateraan Melayu adalah bersifat berat sebelah khususnya memandang sastera sejarah dikaitkan dengan satu fakta yang emperikal. Oleh kerana dikatakan sebagai bahan sastera sejarah, maka unsur mitos yang amat menonjol meruntuhkan pandangan imperialis itu tanpa mempedulikan kepercayaan yang dipegang bersama masyarakat yang berasaskan nilai kovensi budaya partisipatoris. Kajian ini lanjutnya memperihal pendapat Winstedt dan sarjana lain tentang Hikayat Merong Mahawangsa iaitu karya sastera sejarah hasil pensejarahan negeri Kedah. Seperti penulisan-penulisan sastera sejarah Melayu tradisional, Hikayat Merong Mahawangsa begitu patuh pada peraturan dan tradisi penulisannya demi dijadikan sebagai sebuah naskah pensejarahan rasmi negeri Kedah. Hal ini diakui sendiri oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992;311) Hikayat Merong Mahawangsa merupakan teks sejarah dari Kedah yang tunggal dan paling kerap dikaji secara ilmiah. Bagi Siti Hawa Haji Salleh (2009;1-2) Hikayat Merong Mahawangsa dicipta bagi menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan kedaulatan dan ketuanan raja-raja negeri Kedah:
1)      Asal usul keturunan keluarga Diraja Kedah.
2)      Kedaulatan dan kuasa Raja Kedah ke atas negeri dan daerah-daerah takluknya.
3)      Perhubungan dengan kerajaan siam dan pendirian Kedah yang dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Begitu jelas perihal ciri-ciri sastera sejarah yang meghuraikan bentuk jurai keturunan Raja di sesebuah negeri sepertimana pada keturunan Raja di negeri Kedah dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Sebagai contoh diambil pada permulaan hikayat ini yang dimulai zaman sultan Mu’azzam Shah (1970:1):
Adalah pada suatu zaman Sultan Mu’azzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, padasuatu hari baginda keluar ke penghadapan, dihadapi segala menteri, hulubalang serta ‘alim muta’allim,…….


 Dalam mengetengahkan kedaulatan jurai keturunan raja di negeri Kedah melalui peristiwa-peristiwa tertentu, ternyata ada tempiasnya dari kajian yang dijalankan oleh pihak imperialis barat terutama Winstedt yang menilai Hikayat Merong Mahawangsa menggunakan pendekatan referential atau berujukan. Hasilnya Hikayat Merong Mahawangsa dilihat sebagai sebuah karya yang penuh dengan pengecualian-pengecualian, kekosongan dan dianggap sebuah karya sejarah yang kurang bernilai dan tidak menepati andaian untuk mendapatkan sesuatu yang berhubungan terus dengan realiti, walhal hikayat ini dipenuhi dengan kovensi yang memperlihatkan cirri-cirinya. Menurut Noriah Taslim (1994;45) salah satu sifat umum genre ini yang cepat sekali dikesan oleh pembaca ialah kerencaman bahan-bahan naratifnya yang sekiranya dikatagorikan, secara keseluruhannya memperlihatkan timbal-balik antara bahan-bahan yang ditanggap sebagai fakta dan bukan fakta, antara bahan yang bersifat berujukan dan tidak berujukan. Justeru, sifat inilah menjadikan Winstedt bingung dan keliru sesebuah wacana naratif dalam sastera sejarah dan terus menilai Hikayat Merong Mahawangsa dengan pendekatan referential, sebagaimana kata-katanya dipetik dalam H.M.J Maier (1988;61) :
[The Hikayat Merong Mahawangsa] is full of omissions, anachronism and errors.

Maier yang tidak berbelah bagi terhadap hasil kesusasteraan Melayu yang juga mewujudkan aliran anti-Winstedtisme mencadangkan supaya pendekatan retorik dan figuratif dalam menilai Hikayat Merong Mahawangsa yang boleh menghasilkan ‘double-reading’ iaitu pembaca boleh mempunyai banyak interpretasi terhadap karya yang dibaca tanpa bergantung kepada sesuatu makna yang tetap. Pendekatan retorik misalnya cuba meletakkan teks dalam tradisi serta mengambilkira kewujudan dalam budaya lisan. Manakala figuratif memerlukan pembaca menaksir dan memahami sesuatu unsur dengan mendalam dan tidak sekadar memahaminya secara permukaan sahaja seperti peristiwa, simbol, tempat dan sebagainya. Contohnya pada gambaran watak geruda yang menggambarkan bentuk figuratif kebinasaan, manakala peristiwa kekalahan geruda dalam pertempuran dengan Raja Merong Mahawangsa memberi gambaran kemenangan bagi unsur Islam dan kekalahan unsur Hindu. Justeru, Hikayat Merong Mahawangsa penuh dengan unsur-unsur figuratif melalui beberapa penampilan seperti burung jerai, garuda, Raja bersiung, Kuala Muda, Kedah dan lain-lain. Pemahaman peristiwa terangkum dalam masyarakat melayu yang menjadikan peristiwa itu sebagai satu kovensi atau keterikatan budaya hidup mereka. Menurut Ding Choo Ming (1995;23) kita pasti bahawa orang Melayu masa dahulu memang tidak memberi definisi tentang perkara dan perkataan yang sudah diketahui, lebih-lebih lagi konsep-konsep yang rumit. Maka, dapatlah diketahui bahawa masyarakat Melayu amat kuat berpegang kepada berorientasikan tradisi lisan yang memperihalkan peristiwa golongan atasan sepertimana pada salasilah raja-raja negeri Kedah. Persekitaran inilah membawa kelainan makna dan tanggapan oleh imperialis iaitu Winstedt yang gagal memahami retorik atau makna sebenar disebalik cerita yakni membaca menggunakan dan memerlukan fakta-fakta yang realiti seadanya. 

Perbezaan pendapat diantara Low dan Winstedt juga dilihat sebagai satu manifestasi kritikan sastera Melayu bercorak sejarah. Dalam “A Search for the Objective Vocabulary”, Low lebih memihak kepada bentuk sastera sejarah Melayu yang berpendapat bahawa pemikiran masyarakat Melayu kadang-kadang mencerminkan realiti, sebagaimana berikut yang dipetik dari H.M.J Maier (1988;61-62) :
from these articles tha differences between winstedt’s and low’s approach to history are sufficiently obvious. Low had worked on the assumption that some facts (“some glimmerings of light”) could be found in the Hikayat Merong Mahawangsa. Reading this hikayat in terms of reality, he thought is quite possible to make direct correspondences between the hikayat’s narrative and extra-textual reality by way of words that could claim to give a clearer representation of knowledge than the Malay words did.

           
            Berdasarkan kenyataan diatas, Low berpendapat beberapa fakta boleh didapati dalam Hikayat Merong Mahawangsa untuk memberikan satu gambaran jelas mengenai masyarakat Melayu yang secara naratif berpegang kepada budaya berdaulatkan raja sama ada dimitoskan secara etiologi iaitu cerita asal-usul. Bagi Haji Mustafa Mohd Isa (1989:33) cerita-cerita bercorak etiologi ialah menerangkan asal-usul kejadian alam, manusia dan binatang, justeru dalam sastera lisan Kedah banyak terdapat etiologi bercorak setempat atau tempatan sepertimana asal usul negeri Kedah dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Ceritanya bermula apabila raja Rom menitahkan raja Merong Mahawangsa menghantar puteranya ke negeri China untuk dikahwinkan dengan puteri China. Muncul pula watak burung Geruda yang pergi mengadap Nabi Sulaiman dengan janji sumpah menghalang perkahwinan itu. Oleh itu, Geruda bertindak dengan menculik puteri China dan meyembunyikannya di Langkapuri. Apabila angkatan Merong Mahawangsa tiba Geruda itu terus menyerangnya sehingga anak raja Rom terdampat di langkapuri dan ditemui oleh segala dayang dan juga puteri China. Merong Mahawangsa pula gagal melaksanakan utusan raja Rom itu untuk mengahwini puteranya dengan raja China meyebabkan ia membuka negeri iaitu Langkasuka. Geruda sekali lagi pergi mengadap Nabi Sulaiman atas kejayaan meghalang perkahwinan antara putera raja Rom dengan puteri China, walhal putera Rom dan puteri China sudah bertemu dan berkasih-kasihan antara mereka. Oleh itu, putera Rom dan puteri China dikahwinkan dan Geruda dihalau keluar dari dunia ini oleh Nabi Sulaiman. Merong Mahawangsa pulabalik ke Rom, dan sebelum berangkat pulang ia merajakan puteranyaMerong Mahapudisat sebagai raja Langkasuka yang ditukar nama kepada Kedah Zamin Turan sebagaimana pada petikan berikut (1970:33) :
Maka titah Raja Merong Mahawangsa, ‘Jika demikian hendaklah kita namakan negeri ini Negeri Kedah Zamin Turansebutannya.’serta titahnya,’hai anakku Raja Merong Mahapudisat, jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku raja akan dia seorang sebelah utara baratlaut,……

Justeru, kemunculan watak seperti Geruda, Gunung Jerai, Raja bersiung serta peristiwa yang tidak munasabab meyebabkan Winstedt anggap karya ini tidak logik dan meyedari bahawa membaca Hikayat Merong Mahawangsa adalah secara tidak realiti dan apabila beliau cuba menafsirkan dunia dalam sesuatu penggal hikayat, dia terpaksa menarik kesimpulan pandangan bahawa masyarakat Melayu berbeza pengetahuan iaitu lebih primitif berbanding golongan eropah selaras dengan kehendak historiografi iaitu ketepatan berdasarkan hukum logik akal. Ini dapat digambarkan melalui kata-katanya yang dipetik dari H.M.J Maier (1988;62):
Winstedt, on the other hand, was fully aware of reading a text and not reality, and when he tried to interpret the world in term of the hikayat he had to draw the conclusion that Malay histroriography was apparently operating from a distinct set of rules and regulations of knowledge that made it incommensurable with modern Western historiography, and also inferior.

            Bagi Winstedt, gambaran watak yang digambarkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa seperti Geruda dianggap sebagai salah satu percampuran budaya Hindu sedangkan sejarah ini memaparkan nama-nama Islam. Oleh itu, sejarah yang dibina oleh Melayu sering mencampur-adukkan sesuatu kedudukan agama yang dilihat tidak releven dan menguji kedudukan agama islam terutama yang maha pencipta, bahkan dikaitkan pula dengan mitos yang begitu menonjol sehingga menjadikan teks ini tidak membawa sebarang nilai dan lari dari fakta sebenar sebagaimana kata-katanya yang dipetik dari H.M.J Maier (1988;67):
Why not keep to the narrative first and relate the garuda-bird to his opponent, the prophet Sulaiman, and see the bird, in malay traditions so often associated with the hindu deity Vishnu, as a symbol of Hinduism whose efforts to challenge Allah’s will are bound to fail?

Pendapat Winstedt tidak boleh diterima kerana beliau tidak mengambil kira latar belakang budaya masyarakat Melayu yang menerima pengaruh seperti mitos dalam sesuatu pensejarahan berkaitan keturunan raja-raja. Winstedt hanya mengamati fakta sejarah dan gagal memperolehi kebenaran sejarah mengikut tanggapan dan persepsinya dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Cerita mitos dan lagenda ditolak oleh para orientalis kerana mereka gagal memahami makna sebenar disebalik cerita tersebut. Kegagalan ini terjadi kerana mereka tidak tahu objektif dan tujuan sebenar pengarang mencipta karya yang disampaikan kepada masyarakat Melayu yang utuh kepada budaya partisipatoris yang juga berdaulatkan raja. Oleh itu, segala bentuk naratif pensejarahan dianggap tidak benar dan hanya pemikiran mereka lebih unggul dengan anggapan berterusan bahawa Melayu atau timur ini adalam primitif sebagaimana yang dikatakan Edward Said (1978:7)
There is in addition the hegemony of European ideas about the Orient, themselves reiterating European superiority over Oriental backwardness, usually overriding the possibility that a more independent, or more skeptical, thinker might have had different views on the matter.

           
Kesimpulannya, Hikayat Merong Mahawangsa memerlukan pemahaman yang melibatkan pemikiran berasaskan agama Islam dan kebudayaan Melayu. Hal ini kerana binaan ceritanya perlu ditafsir dengan sedalam-dalamnya secara tamsilan dan tidak hanya mencari ketepatan fakta diluar teks. Unsur perlambangan banyak dikisahkan pengarang kerana mengarang berdasarkan cerita yang disampaikan oleh orang sebelumnya, dengan konsep cerita yang didengarkan itu, maka dianggap benar dan bukan pula dianggap sebagai suatu penipuan atau kekosongan sepertimana tanggapan Winstedt dan para imperialis barat yang lain kerana bukti pengarang hikayat ini menulis adalah sebagai satu perlambangan yang diceritakan dalam bentuk metafora. Justeru, kajian Winstedt adalah berat sebelah kerana ada agenda tersirat disebalik kritikan yang dilakukannya, walhal masyarakat Melayu amat kukuh kepada kekuatan tradisi dan budaya konvensi tersendiri dalam menentukan salasilah sejarahnya.

Saturday, January 1, 2011

TAJUK:
ULASAN BUKU “MENGAJAR MEMBACA, TEORI & APLIKASI PANDUAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGAJAR MEMBACA”


1.0  PENGENALAN

Pembacaan adalah aktiviti yang amat penting dalam proses pembelajaran. Oleh kerana itu, setiap mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah telah ditetapkan dengan sebuah buku teks oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukan utama. Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis. Ianya adalah suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya (Kamus Dewan Edisi Baru, 1991). Bagi Yahya bin Othman (2007:1) membaca adalah asas pembentukan diri ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan. Hal ini selaras dengan perintah Allah yang diwahyukan kepada nabi dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang berbunyi :
“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku, bacalah danTuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”
Oleh itu, penekanan utama dalam proses pembacaan sebagai suatu proses komunikasi adalah kefahaman yang mantap. Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda menjadi sukar, malah minat untuk membaca juga boleh menurun. Namun, sekiranya kemahiran membaca adalah cekap, maka proses pembelajaran akan menjadi lebih lancar, faham dan dapat mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca itu. Peranan guru adalah amat penting bagi memastikan murid-muridnya menguasai kemahiran membaca khususnya bagi guru yang mengajar dalam bahasa. Justeru, kajian ini akan mengulas sebuah buku yang bertajuk “Mengajar Membaca, Teori & Aplikasi, Panduan Meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca” edisi kedua oleh Yahya Othman bagi menilai panduan yang telah disarankan kepada guru Bahasa Malaysia di sekolah. 
2.0  SINOPSIS BAHAN KAJIAN
Kajian ini akan mengupas saranan yang dikemukakan oleh Yahya Othman dalam bukunya bertajuk “Mengajar Membaca, Teori & Aplikasi, Panduan Meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca” edisi kedua. Yahya Othman merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan di Universiti Putera Malaysia yang menulis buku ini dan diterbitkan oleh PTS Professional Distributors Sdn. Bhd. Buku ini merupakan hasil cetakan kali kedua yakni sebelum ini pernah dicetak pada tahun 2004 oleh penerbit yang sama.
Buku ini mengandungi sebanyak 198 muka surat, dengan 14 tajuk utama meliputi perspektif membaca, pembaca dan teks, model-model bacaan, memahami bacaan, skema dalam bacaan, metakognisi dalam bacaan, bahan bacaan dan kebolehbacaan, pengurusan dan organisasi bilik darjah, kemahiran berfikir dan membaca, pendekatan dalam mengajar membaca, model aplikasi pengajaran membaca, strategi mempelajari perbendaharaan kata, strategi mengajar membaca teks, dan strategi membaca teks akademik.
Buku ini sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan dan rujukan guru-guru yang mengajar membaca sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah. Dalam konteks kemahiran belajar, buku ini dapat dijadikan sebagai panduan umum terutama kepada pelajar-pelajar peringkat institusi pengajian tinggi. Dari aspek penyampaian pula, buku ini cuba memaparkan dua aspek penting dalam penguasaan membaca iaitu aspek teori dan aplikasi yakni aspek teori membantu guru-guru dan pelajar memahami teori-teori yang mendasari proses membaca dan bagi aspek pelaksanaan pula, ia merangkumi pelaksanaan dalam pengajaran membaca ke atas murid-murid dalam bilik darjah. Maka, kajian selanjutnya akan mengupas beberapa saranan yang dikemukakan oleh penulis.
3.0  ULASAN BAHAN KAJIAN
Berdasarkan buku kajian ini, pengarang yakni Yahya Othman cuba untuk mengetengahkan beberapa teori dan aplikasi bagi meningkatkan kemahiran membaca di kalangan murid-murid dan sesuai dijadikan panduan kepada guru-guru dan bakal-bakal guru. Pada awal isi kandungan buku ini, pengarang cuba menghuraikan konsep atau perspektif membaca sama ada memberikan takrifan yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh akademik dan juga perspektif membaca serta cuba mengaitkan aktiviti membaca dengan sains kognitif.
Ternyata definisi membaca yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh akademik adalah berbeza namun, masih bersandarkan pada aktiviti yang sama. Menurut Harris dan Sipay dalam buku Yahya Othman (2006:3) membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambing-lambang bercetak dan bertulis. Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Kepelbagaian andaian terhadap definisi membaca cuba di disimpulkan oleh pengarang bahawa melalui aktiviti membaca wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran yang wujud dalam minda seseorang.
Dalam perspektif membaca, pengarang telah membandingkan pandangan yang didasari oleh Pearson dan Stephens dengan Samuel dan Kamil ke atas bacaan berdasarkan perspektif tradisional dan baru. Ini mengukuhkan lagi pendekatan yang harus dipraktikkan oleh guru memandangkan pandangan baru lebih ideal kerana pembaca kini dikatakan lebih aktif berbanding pembaca pada pandangan tradisional yang bersifat pasif terutama pada sumber yang diperoleh (Yahya Othman, 2006:7). Hal ini turut disokong oleh Hashim Othman (1995:211) pandangan yang terkini menganggap pembacaan bukanlah proses yang melibatkan pelaksanaan kemahiran-kemahiran kecil secara terasing, tetapi merupakan interaksi serentak pelbagai maklumat untuk mencapai tujuan membaca. Maka, pada isi bahagian buku ini begitu jelas di tulis agar guru dapat mengaplikasikannya dalam bilik darjah bersandarkan pandangan ahli-ahli psikologi kognitif yang membawa hala tuju baru dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca.
Kekuatan buku ini juga dapat dilihat apabila pengarang menjelaskan pembaca dan teks merupakan dua elemen penting dalam menjayakan proses pemahaman. Kelakuan masuk murid-murid perlu dipertimbangkan guru sebelum mendedahkan pelajar dengan proses bacaan serta turut menilai keupayaan bahasanya. Penjelasan berkenaan dengan kategori pembaca juga lebih sistematik berbanding dengan buku yang dihasilkan Safiah Osman (1990:4-5) berpendapat, ada pembaca yang cekap, mahir lagi matang dan sebaliknya, ada pula yang lemah dan kurang mahir. Konsep seperti pemerhati, ambil bahagian, pesintesis dan pembuat keputusan sepertimana dijelaskan Yahya Othman tidak diperhalusi oleh Safiah Osman. Hal ini menambahkan lagi maklumat penting kepada guru selain menerima input sedia ada bagi memastikan murid-murid mencapai objektif dalam menguasai kemahiran membaca dan bahasa.   
Selain menjelaskan aspek dalaman yang mempengaruhi aktiviti membaca, pengarang turut menjelaskan aspek sosiologi yakni faktor luaran yang mempengaruhi kebolehan membaca seperti faktor pembaca sendiri, faktor psikologi, faktor fizikal, faktor persekitaran, sekolah dan lain-lain dapat dijadikan panduan kepada guru-guru bagi meningkat dan menggalakkan tahap bacaan murid-murid. Seterusnya, bahagaian yang melibatkan teori cuba diperjelaskan oleh pengarang dalam kandungan model-model bacaan yang memberi penekanan terhadap jenis-jenis model bacaan.
Pendapat terhadap jenis-jenis bacaan yang dijelaskan oleh Yahya Othman dilihat dari jenis berikut:
1)      Model atas-ke-bawah
2)      Model bawah-ke-atas
3)      Model membaca interaktif
4)      Model membaca psikolinguistik
5)      Model membaca Clay
6)      Model membaca Schraw dan Bruning
Daripada jenis-jenis bacaan yang dijelaskan oleh Yahya Othman di atas, ia dapat memberi kekuatan dalam memperjelaskan isi kepada guru sebagai landasan untuk diamalkan dalam bilik darjah. Misalnya dalam model membaca interaktif yakni penggunaan sumber maklumat sebagai cara yang kompleks semasa proses membaca. Pengarang cuba mencadangkan model ini yang sesuai dipraktikkan guru bahasa dalam bilik darjah yakni menurut Yahya Othman (2006:38) model interaktif mencadangkan pembaca membina makna dengan cara mempunyai kuasa memilih maklumat daripada sumber makna seperti  grafem, fonemik, morfem, sintaksis dan semantik tanpa mematuhi mana-mana set arahan. Maka, model ini dijelaskan lebih dominan dan sesuai dipraktikkan guru dalam bilik darjah serta dapat membantu murid-murid memahami proses membaca.
            Pengajaran bahasa Malaysia yang berkesan adalah penting sekiranya guru menitikberatkan proses pengajaran membaca yang dapat memberi kesan ke atas pemahaman murid-murid dan sejauhmana penguasaan bahasa tersebut. Justeru, buku ini turut memuatkan beberapa teknik dalam proses memahami bacaan dan menghuraikan secara jelas tentang peringkat-peringkat memahami bacaan seperti bacan literal, terjemahan, aplikasi, analisisi, nferens dan penilaian. Pendapat ini turut diperoleh dalam buku yang dihasilkan Safiah Osman (1990:10) bacaan tahap pertama disebut sebagai pembacaan literal, iaitu pembacaan untuk mendapatkan maklumat. Kedua, disebut sebagai pembacaan tahap tinggi, iaitu mambaca sambil merumus, membuat kesimpulan dan menilai. Maka, didapati buku tahap-tahap bacaan ini sudah mula dibincangkan sejak dahulu lagi dengan penambahan beberapa lagi tahap bacaan oleh Yahya Othman.
            Kekuatan pengarang dalam menghuraikan pengajaran membaca di bilik darjah turut menyentuh soal teori skema membaca yakni memperhalusi pendapat yang dikemukakan oleh Piaget dan Anderson. Melalui skema ini murid-murid dapat memahami mesej secara aktif melalui makna atau skema yang dapat menerangkan subjek dan peristiwa dengan baik (Yahya Othman, 2006:69). Hal yang sama dihuraikan dalam artikel yang dihasilkan Hashim Othman (1995:214) penguasaan proses kognitif membolehkan pembaca mahir memilih dan menggunakan strategi membaca yang sesuai untuk mencapai sesuatu tujuan. Maka, didapati dalam amalan pengajaran membaca, guru-guru perlu berinisiatif dalam memperkenalkan bacaan berasaskan domain seperti bacaan intensif, penggunaan pengetahuan latar dan bahan-bahan ilmiah.
            Turut dibincangkan dalam kandungan buku ini adalah berkenaan dengan bahan bacaan yang penting sebagai panduan guru untuk dibebalkan kepada murid-muridnya. Bagi pengajaran guru Bahasa Malaysia, ditekankan bahawa aspek linguistik dan konsep atau topik adalah bahan yang penting untuk diajarkan. Hal ini kerana guru dapat menilai perbedanharaan kata, penggunaan struktur ayat, penggunaan konsep dan tahap pemahaman dan kefahaman murid. Juga ditekankan faktor sosiologi atau persekitaran yakni pengurusan dan organisasi bilik darjah yang sesuai bagi menguasai teknik mengajar yang dapat memikat murid-murid khususnya dalam pengajaran bahasa yang melibatkan proses bacaan. Amalan dan teknik yang sesuai turut disyorkan kepada guru-guru dalam mengajar bacaan.
            Kemahiran berfikir dan membaca turut dihuraikan dengan jelas iaitu amalan yang patut ditekankan guru untuk dipraktikkan dalam bilik darjah meliputi sebelum, semasa dan selepas membaca. Ia dikukuhkan lagi dengan beberapa teknik yang sesuai dalam pengajaran membaca di kalangan murid-murid. Ini adalah penting supaya murid-murid mendapat input yang diperoleh melalui bahan bacaan yang dibaca. Pendekatan dalam mengajar membaca turut diperjelaskan oleh Yahya Othman dengan baik yakni mengesyorkan beberapa pendekatan penting dapat dipraktikkan dalam bilik darjah seperti pendekatan teknologikal, pendekatan pengalaman bahasa, pendekatan membaca individu dan pendekatan membaca berasaskan bahan kesusasteraan. Melalui beberapa pendekatan yang disyorkan, maka ia membantu sedikit-sebanyak kepada guru memilih pendekatan yang sesuai untuk diamalkan dalam pengajaran membaca dalam bilik darjah.
            Aspek yang penting dalam pengajaran Bahasa Malaysia yang melibatkan proses bacaan adalah perbendaharaan kata. Justeru, buku ini jelas memberi landasan kepada guru-guru bahasa dalam strategi mengajar aspek perbendaharaan kata melalui aktiviti pembacaan. Beberapa pendekatan dan teknik yang sesuai disyorkan seperti pendekatan terus yakni menurut Yahya Othman (2006:173) melalui pendekatan terus, pelajar akan mempelajari perkataan dalam senarai atau melengkapkan latihan perbendaharaan kata yang pelbagai. Hal ini penting supaya murid-murid menggunakan perkataan yang diperlukan bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran bahasa secara berkesan. Pengajaran aspek perbendaharaan kata perlu dilaksanakan guru secara terperinci agar objektif penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan murid-murid dapat dicapai.
            Buku yang dihasilkan Yahya Othman ini turut memperjelaskan konsep dan strategi mengajar membaca teks yang diamalkan dalam bilik darjah. Sememangnya pengajaran Bahasa Malaysia tidak dapat dipishkan dengan penguasaan kemahiran membaca. Maka, disyorkan bahawa perlu wujudnya beberapa langkah dan strategi yang sesuai dalam mengetengahkan pengajaran membaca seperti menggunakan teknik penyoalan atau kritikan terhadap teks yang dibaca, membuat ringkasan bahan yang dibaca, pemantauan terhadap bacaan dan stategi pembetulan kendiri. Hal ini dapat menarik minat pelajar membaca dan seterusnya dapat menguasai kemahiran bahasa. Stategi membaca teks akademik secara berkesan turut dijelaskan dengan baik supaya murid-murid tidak bosan dengan bahan yang terlalu formal. Maka, ia dapat memberi panduan berkesan kepada guru-guru untuk dipraktikkan kepada murid-murid dalam pengajaran bahasa di bilik darjah.
            Berdasarkan beberapa topik dan isi kandungan yang dibincangkan oleh penulis, ia dapat menguatkan lagi panduan kepada guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan dalam memberi panduan pengajaran membaca dilaksanakan dalam bilik darjah. Hal ini kerana pada masa kini, pengajaran perlulah dikaitkan dengan komponen teknologi maklumat ataupun ICT dan juga pembelajaran bahasa yang memikat. Pengarang memang menyentuh bagaimana untuk mengajar tentang perbendaharaan kata, strategi mengajar membaca teks dan strategi membaca teks akademik, tetapi sebaliknya tidak menekankan pembelajaran yang berteraskan komponen teknologi maklumat dan juga pembelajaran yang memikat.
Hal ini kerana, murid-murid akan mudah jemu dan bosan dengan pendekatan yang sedia-ada. Sebagai contoh dalam strategi mengajar membaca teks yakni pengarang mengesyorkan pemantauan bacaan digunakan melalui tugasan yang diberikan guru yang mengkehendakkan murid-murid menyatakan bahagian yang sukar difahami semasa membaca kepada guru atau menandakannya pada mana-mana bahagian dalam muka surat teks yang dibaca (Yahya Othman, 2006:69). Justeru, didapati kaedah yang digunakan terlalu formal dan menyebabkan pelajar mudah terasa jemu dan tidak berusaha menarik minat murid-murid untuk melaksanakan tugasan tersebut. Sebaliknya, pengajaran akan lebih berkesan sekiranya komponan teknologi ICT digunakan seperti penggunaan pencarian kumpuan data Data korpus yang digunakan dengan cara mengaplikasikan data korpus bersama perisian (software) Wsmtih. Data korpus dapat digunakan dengan mudah dan berkesan serta dapat menunjukkan struktur ayat yang terkandung dalam data korpus akhbar, artikel dan sebagainya. Justeru, melalui pendekatan teknologi sebegini, murid-murid akan lebih tertarik dan dapat menjadi satu sumber bacaan untuk menguji kefahaman dan kefasihan bahasa mereka.
Melalui penggunaan komponen teknologi maklumat, ia sedikit sebanyak dapat mengubah corak pengajaran dan pembelajaran bahasa sama ada mengajar membaca kepada murid-murid dalam bilik darjah. Hal ini kerana, murid-murid pada masa kini lebih terdedah dengan corak yang baru berteraskan teknologi maklumat. Justeru, pengajaran bahasa turut boleh diajar melalui komponen teknologi maklumat yang dikatakan mampu memikat murid-murid sekolah. Tugas guru adalah penting bagi memastikan murid-murid bersedia dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan membuat pemantauan secara berterusan. Inilah komponen penting masa kini yang tidak dinyatakan oleh pengarang dalam memberi panduan kepada guru untuk melaksanakan pengajaran membaca yang berkesan kepada murid-murid. Walau bagaimanapun, keseluruhan buku ini berjaya dalam memberi panduan dan membantu guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi menguasai pelaksanaan membaca di dalam bilik darjah.
4.0  REFLEKSI
Berdasarkan kajian dan ulasan buku berkenaan Mengajar Membaca, Teori dan Aplikasi, Panduan meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca yang dihasilkan oleh Yahya Othman, didapati ia amat bersesuaian untuk diguna dan dijadikan panduan kepada guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar pusat pengajian tinggi. Hal ini kerana pengarang membincangkan beberapa aspek termasuk, pendekatan, teori-teori, teknik dan strategi untuk diketengahkan dalam pengajaran membaca dalam bilik darjah. Sebagai contoh dalam pemilihan strategi membaca yang memberi panduan kepada guru-guru untuk memilih strategi yang sesuai kepada murid-murid dengan keperluan semasa membaca.  
Panduan ini sesuai digunakan untuk guru-guru dalam mengajar membaca sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Kebanyakan aktiviti membaca hanya tertumpu kepada murid-murid sewaktu di sekolah rendah, namun penting juga kepada guru yang mengajar di sekolah menengah agar proses pembacaan murid-murid dapat mencapai objektif yang disarankan. Sebagai seorang guru, usaha berterusan perlu diambil bagi meningkatkan kemahiran membaca dikalangan murid-muridnya, sebagaimana saranan oleh Hashim Othman (1995:221) bagi meningkatkan kemahiran membaca untuk pembelajaran yang berkesan dan sebagai persediaan masa  depan, guru perlu bersedia melaksanakan perubahan, khususnya yang berkaitan dengan strategi pengajaran dan pemelajaran membaca. Maka, dalam usaha membudayakan aktiviti membaca dalam kehidupan, pembaca perlu memiliki strategi membaca yang sesuai supaya tujuan membaca akan dapat mewujudkan masyarakat berpengatahuan dan ini akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut (Yahya Othman, 2007:194).    
5.0  KESIMPULAN
Tugas guru sebagai pendidik adalah satu tugas dan tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul yakni seharusnya berperanan memberi ilmu kepada murid-muridnya. Hal ini kerana pada zaman ini setiap orang harus memiliki dan menguasai ilmu agar dapat bersaing setanding dengan pemikiran yang berpengetahuan. Justeru, guru bahasa amat penting dalam menyumbang kepada pembentukan murid-murid yang mempunyai daya pemikiran dan kemahiran bahasa yakni mampu membina intelek dengan sebaik-baiknya. Kecekapan dalam berbahasa membolehkan mereka mempelajari ilmu-ilmu lain dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah. Maka, guru harus menekankan proses pengajaran kemahiran membaca di dalam bilik darjah secara saksama ekoran tidak semua murid-murid dalam satu-satu kelas dapat menguasai kemahiran membaca yang baik.
Justeru, buku ini telah memberi beberapa panduan untuk meningkatkan kemahiran membaca dikalangan murid-murid. Hal ini kerana dalam pengajaran melibatkan ramai murid dalam sesebuah kelas, guru perlu mengambil inisiatif dalam mengetengahkan beberapa pendekatan dan teknik yang sesuai supaya setiap murid dapat mencapai tahap penguasaan kemahiran membaca dengan baik. Teknik membaca ini amat penting terutamanya bagi menyediakan pelajar supaya bersifat lebih kritis ke atas bahan bacaannya. Melalui teknik membaca ini juga dapat membantu guru dan murid-murid dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan bacaan secara optimum dan berkesan. Ini semua adalah melibatkan peranan guru yang perlu melaksanakan pengajaran kemahiran membaca secara teratur supaya tidak wujud masalah semasa pengajaran berlansung. Guru juga perlu memilih pendekatan yang sesuai dengan keperluan murid-murid sama ada mengukur kelakuan masuk pelajar atau sebaliknya. Hal ini dapat membantu murid-murid mengausai kemahiran berbahasa yang baik.

Sunday, July 4, 2010

PPG 318

KAEDAH MENGAJAR KESUSASTERAAN MELAYU II


TAJUK:

Sulalatus Salatin :Pencetus Kecerdasan Emosi dan Intelek


OLEH

MOHAMAD ROSMIZI BIN MAHAMAD


PENSYARAH: TUAN HAJI ABDUL RAHMAN HJ. ABD. AZIZ


1.0 PENGENALAN

Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu manifestasi karya agung yang dikarang oleh Bendahara Tun Sri Lanang yakni memperihalkan salasilah jurai keturunan raja-raja Melayu yang memperteguhkan wilayah ketuanan dan kekuasaan Melayu di alam Melayu. Sulalatus Salatin adalah menjadi teks tradisional wajib untuk pelajar tingkatan 6 bagi meneruskan pemikiran pelajar kelasan pra-universiti. Justeru, Sulalatus Salatin dianggap sebagai sebuah teks yang berketrampilan dalam pencetus kecerdasan emosi dan intelek khususnya pada tahap pembelajaran pelajar pra-universiti. Pemerihalan Sulalatus Salatin dalam menggerakkan emosi dan intelek pelajar banyak terangkum melalui beberapa peristiwa yang dibangkitkan pengarang yakni bermula dengan asal usul raja dengan tokoh Iskandar Zulkarnain raja agung dari Yunani. Pemerihalan tersebut dipaparkan menerusi petikan ini:

“…..Setelah Raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu mendengar khabar Wan Empuk dan Wan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan, maka Demang Lebar Daun pun datang ke rumah Wan Empuk dan Wan Malini mendapatkan raja itu. Maka oleh Demang Lebar Daun ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke negerinya.

Maka masyurlah pada segala negeri, bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun dari bukit Si Guntang Mahameru, sekarang ada di negeri Palembang. Maka segala raja-raja daripada segala pihak negeri pun datanglah mengadap raja itu”….. ( Sejarah Melayu :85)

Demikianlah gambaran salasilah keturunan raja Melayu yang merupakan suatu penelitian yang amat penting bagi menunjukkan bahawa raja Melayu berasal dari manusia yang luar biasa. Peristiwa semacam ini dan yang lain dikaji berasaskan kecerdasan emosi dan intelek. Justeru, Penerapan Kurikulum perlu diseimbangkan dengan perkembangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ), sehingga objektif pembelajaran dapat tercapai dengan baik. IQ dan EQ itu perlu dikembangkan khusunya kepada pelajar agar dapat mencapai sasaran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seterusnya dapat menjana modaliti atau modal insan yakni sebagai asas pembentukan negara maju. Modal insan inilah merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya unsur emosi bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Akhirnya peranan guru yakni agen penyampaian pendidikan dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk mengisi keperluan negara maju 2020 yang terangkum dalam genre kesusasteraan termasuklah Sulalatus Salatin.

2.0 KECERDASAN EMOSI

Emotional intelligence (EQ) ditafsirkan sebagai kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain yakni digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Bagi Mayer dan Solovery (1993) kecerdasan emosi sebagai merujuk kepada kemahiran insaniah. Memahami emosi dan berusaha mengawalnya adalah satu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Unsur emosi dititikberatkan dalam FPK kerana unsur ini dapat menentukan tahap penerimaan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kerana pelajar yang mempunyai emosi yang stabil dapat menerima dan menerapkan apa yang diajar dengan lebih mudah dan berkesan.

Menurut Goleman (1999), kecerdasan emosi adalah satu trait yang diperlukan oleh seseorang untuk berjaya dalam kerjaya. Ianya juga berkait rapat dengan nilai kerja yang dipegang oleh seseorang dan boleh memberikan kesan ke atas prestasi kerja individu tersebut. Goleman (1995) telah mengemukakan satu teori untuk menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi emosi seseorang. Teori tersebut dikenali sebagai Teori Kecerdasan Emosi. Dapat disimpulkan bahawa kecerdasan emosi yakni subilmu yang terdapat dalam bidang psikologi yang merujuk kepada keupayaan memantau emosi sendiri dan orang lain, membezakan emosi positif dan negatif, dan menggunakannya sebagai informasi untuk berfikir serta bertindak.

Teori ini menerangkan faktor kegagalan dan kejayaan seseorang dalam kehidupan peribadi dan kerjaya masing-masing termasuk peranan yang dimainkan oleh pelajar dalam menentukan hala tuju mereka berasaskan prinsip emosi dan intelek. Goleman (1999) menyarankan lima faktor atribusi terhadap kecerdasan emosi. Faktor-faktor tersebut ialah: (1) Kesedaran Kendiri (self-awareness), (2) Pengawalan Kendiri (self-regulation), (3) Motivasi Kendiri (self-motivation), (4) Empati dan (5) Kemahiran Sosial (social skills). Oleh itu, kelima-lima elemen ini akan dilihat dalam Sulalatus Salatin melalui petikan peristiwa yang diperihalkan bersesuaian dengan eleman-elemen kecerdasan emosi.

Terdapat beberapa ciri yang dapat membantu membentuk perasaan jiwa yang kuat iaitu perasaan tenang dan tingkah laku terkawal, memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, memiliki semangat kekitaan dan perpaduan serta menghargai dan menilai keindahan dan kesenian. Unsur emosi adalah penting untuk diterapkan kepada para pelajar supaya matlamat dan wawasan negara dapat dicapai secara maksimum. Berikut adalah lanjutan pecahan lima elemen kecerdasan emosi yakni dilihat berdasarkan peristiwa dalam Sulalatus Salatin.

2.1 KESEDARAN KENDIRI

Kesedaran kendiri atau juga disebut mengenal emosi sendiri merupakan suatu pemerhatian terhadap diri dan mengakui suatu perasaan sebagai satu kejadian. Kesedaran kendiri tidak pula bermaksud seseorang itu terbawa-bawa dengan emosinya tetapi merujuk kepada keadaan seseorang itu dapat menyedari emosi yang merayap ke mindanya akibat tekanan yang dihadapi dan seterusnya menguasainya. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;80) aras ini merujuk kepada kesedaran tentang hubungan antara buah fikiran, perasaan dan tindakan. Seseorang itu juga dapat menguasai emosi serta fikiran tentang emosi tersebut dan bukan hanya sekadar sedar akan emosi tersebut. Maka, melalui kesedaran inilah seseorang atau pelajar dapat mengenali emosi diri sendiri.

Sulalatus salatin mengandungi unsur kesedaran kendiri melalui beberapa peristiwa yang dilihat relevan sebagai rangsangan kepada pelajar bagi menyedari emosi mereka. Peristiwa “Singapura Dilanggar Todak”dalam bab 4 misalnya memperlihatkan perasaan dukacita terhadap perlaksanaan hukuman Paduka Seri Maharaja kepada Tuan Jana Khatib yakni telah menilik pohon pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja yang diperihalkan :

“…..Maka suatu hari Tuan Jana Khatib berjalan di Pekan Singapura bertudung; maka ia lalu hampir pagar istana raja. Makadipandangnya pintu peranginan raja itu, ada seorang perempuandilindung oleh pohon pinang gading; oleh Tuan Jana Khatib ditiliknya pohon pinang itu belah dua.

Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka; titah baginda, “lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada di pintu maka ia menunjukkan ilmunya.”Maka disuruh baginda bunuh…..”( Sejarah Melayu :67)

Berdasarkan peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib, sememangnya pengkaji akan menimbulkan emosi dukacita terhadap perlaksanaan hukuman itu yakni hukuman bunuh akibat menunjukkan kehebatan menilik pohon pinang hingga terbelah dua adalah tidak wajar dan secara sengaja telah melanggar waad yang ditetapkan. Justeru sebagai pengkaji yakni pelajar dapat menyedari emosi sendiri iaitu dukacita terhadap hukuman raja yang dapat dikecam sebagaimana menurut Nawawee Mohammad (1992;41) fikiran raja banyak dipengaruhi acuman, berdasarkan perasaan dan fitnah yang akhirnya telah membawa bencana iaitu bencana serangan todak hingga menyebabkan rakyat terkorban ekoran berkotakan betis.

2.2 PENGAWALAN KENDIRI

Elemen pengawalan kendiri atau juga mengurus emosi sendiri pula berperanan menentukan emosi yang menguasai kita. Ianya hanya sementara sahaja walaupun seseorang itu tahu bahawa mereka tidak boleh menguasai emosi. Emosi marah seperti, ego tercabar dan keselamatan diancam akan memunculkan sesuatu rangsangan yang aktif dan tindakan cepat yang tidak diduga. Dalam SMSI (2005;39) pengawalan emosi bermakna menangani perasaan agar perasaan mampu terungkap dengan tepat, mampu menghibur diri ketika ditimpa kesedihan dan lain-lain. Beberapa kemahiran boleh dipraktikkan seperti bersendirian dan muhasabah balik apa yang berlaku dan mengalihkan perasaan marah kepada benda lain adalah tindakan yang sesuai difikirkan perlu bagi seserang untuk tidak terlalu beremosi.

Sulalatus Salatin dapat dilihat berdasarkan elemen pengawalan kendiri dalam peristiwa “Sultan Mahmud membuang kerajaan” yakni dipetik dalam bab 13. Sultan Mahmud Syah diperihalkan telah menyesal atas tindakan membunuh Bendahara Seri Maharaja dengan keluarganya. Justeru, baginda telas melepaskan jawatan sultan lalu diserahkan kepada anakandanya Sultan Ahmad Syah. Lalu Baginda akhirnya telah mengasingkan diri di hulu Melaka iaitu di Kayu Ara bersama Sang Sura yang diperihalkan :

“….Maka sultan Mahmud terlalu sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Hatta maka Sultan Mahmud pun membuangkan kerajaan baginda. Raja Ahmadlah dirajakan Baginda, bergelar Sultan Ahmad Syah. Segala pegawai dan alat kerajaan sekaliannya diserahkan baginda kepada Sultan Ahmad. Maka Sultan Mahmud Syah pun diam diri ke hulu Melaka, pada suatu tempat bernama kayu Ara; hanya Sang Sura seorang juga teman baginda…..”( Sejarah Melayu :264)

Peristiwa di atas telah menimbulkan emosi pengawalan kendiri kepada pengkaji yakni pelajar sebagai langkah melepaskan masalah agar emosi tidak lagi membuak-buak. Justeru tindakan Sultan Mahmud Syah melepaskan semua jawatan sebagai seorang Sultan dan pergi mengasingkan diri kerana menyesali kekejaman yang telah dilakukannya dikatakan relevan agar emosinya tidak lagi dibebani perasaan bersalah sehingga mampu menimbulkan keadaan yang lain sebagaimana menurut Nawawee Mohammad (1992;67) raja yang merasai berdosa dengan rela hati melepaskan kuasa kerajaan kepada keturunan yang lain dan mengasingkan diri agar pemerintahannya tidak lagi dipengaruhi kekejaman. Maka, pelajar dapat mencontohi pengawalan kendiri sebagaimana yang dilakukan Sultan Mahmud agar tidak lagi memudaratkan emosi.

2.3 MOTIVASI KENDIRI

Memotivasi kendiri yakni menjadikan emosi sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan diri untuk berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Emosi menjadi satu alat untuk memotivasikan diri dalam menghadapi bermacam perasaan seperti kecewa, bimbang, takut, panas baran dan lain-lain yakni dapat diatasi melalaui kemahiran atau kecekapan tertentu. Justeru, memotivasikan diri membolehkan seseorang menjauhi perasaan atau perlakuan negatif sebagaimana dalam SMSI (2005;40) dengan kemampuan memotivasikan diri yang dimilikinya maka seseorang itu akan cenderung memiliki pandangan yang positif dalam menilai segala sesuatu yang terjadi dalam dirinya. Jadi secara tidak langsung seseorang dapat dapat mengendalikan dorongan hati dan kekuatan berfikir positif.

Peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin turut mempengaruhi pengkaji atau pelajar dalam kerangka memotivasikan emosi kendiri. Sebagai contoh peristiwa yang dapat memotivasikan diri adalah peristiwa “Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada” dalam bab 9. Peritiwa tersebut memperihalkan Sultan Mahmud berzina dengan isteri Tun Biajid yakni anak Laksamana Hang Tuah. Ketika pulang baginda terserempak dengan Tun Biajid. Maka diketahuinya Tun Biajid akan peristiwa permukahan baginda dengan isterinya, ditimang-timangnya lembing tetapi kerana tidak terlalu emosi dan masih berfikiran rasional yakni berpegang kepada prinsip pantang Melayu menderhaka, tidaklah Sultan Mahmud dibunuhnya. Justeru, bagi menunjukkan kekecewaanya kepada baginda, Tun Biajid telah meletak jawatan dan tidak lagi berhubungan dengan istana serta turut menceraikan isterinya. Justeru emosi yang dibawa Tun Biajid mempengaruhi pengkaji sebagai contoh untuk memotivasikan diri sendiri yakni tidak terlalu emosi dan memikirkan kesan sebelum sesuatu tindakan dibuat yang diperihalkan :

“…….Maka pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari ru,ah isterinya. Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya ditimang-timangnya, kata-katanya, “Hei Sultan Mahmud, demikianlah pekerjaan tuan hamba akan hamba? Saying tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama Si Biajid anak laksamana Hang Tuah……”( Sejarah Melayu :193)

2.4 EMPATI

Elemen empati atau juga disebut sebagai memahami, mengenali dan merasai emosi orang lain merupakan suatu pemahaman terhadap emosi orang lain yakni dapat dilihat melalui pergerakan seperti tindakan bukan verbal iaitu nada suara, ekspresi muka, gerak badan (kinestetik) dan lain-lain. Menurut Goleman (2002;57) kemampuan seseorang untuk mengenali orang lain atau peduli, menunjukkan kemampuan empati seseorang. Justeru, individu yang mempunyai perasaan empati cukup berperasaan merasai perasaan emosi orang lain, malah perlakuannya lebih dari simpati yakni hanya setakat memahami masalah atau perlakuan seseorang. Seseorang yang mampu membaca emosi orang lain juga memiliki kesadaran diri yang tinggi. Semakin mampu terbuka pada emosinya sendiri, mampu mengenal dan mengakui emosinya sendiri, maka orang tersebut mempunyai kemampuan untuk membaca perasaan orang lain (Goleman, 2002;172).

Sulalatus Salatin turut mengandungi peristiwa yang dapat mempengaruhi emosi empati kepada pengkaji yakni dilihat dalam peristiwa “Satu Cara Mengelak Pecah-belah” bab 5. Peristiwa ini berkisar mengenai perbalahan pembesar antara Paduka Raja Tun Perak dengan Seri Nara Diraja hingga menimbulkan semangat berpuak-puak tidak bermuafakat antara satu-satu pihak. Maka, Sultan Muzzafar Syah mengatasi masalah perpecahan tersebut dengan kesanggupan dan pengorbanannya menceraikan permaisuri baginda, Tun Kudu dan dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Memandangkan Tun Kudu ialah kakak Tun Perak, maka mereka menjadi ahli keluarga dan berdamai. Justeru dilihat di sini perasaan empati Sultan Muzzafar terhadap persengketaan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja hingga campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu, bahkan sanggup menceraikan Tun Kudu semata-mata untuk mendamaikan mereka. Peristiwa ini telah menjadi satu contoh kepada pembaca untuk melahirkan perasaan empati yakni bukan sahaja simpati malah turut merasai dan secara langsung melibatkan diri dalam sesuatu situasi dengan usaha tertentu yang diperihalkan:

“……Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu, maka terlalu dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir baginda, “jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besar tiada muafakat sama orang besar.” Maka baginda berbicara hendak dimuafakatkan antara kedua Orang Besar itu; maka Sultan Muzaffar Syah menyuruh memanggil Seri Nara Diraja…..” ( Sejarah Melayu :92-93)

2.5 KEMAHIRAN SOSIAL

Kemahiran sosial atau membina dan memelihara perhubungan dengan orang lain merupakan keupayaan seperti pengurusan kendiri dan berempati yakni dapat membentuk kuasa interpersonal dan intrapersonal bagi menjalinkan hubungan menjadi lebih positif. Dalam SMSI (2005;40) seni dalam membina hubungan dengan orang lain merupakan ketrampilan sosial yang mendukung keberhasilan dalam pergaulan dengan orang lain. Justeru perhubungan yang baik mampu melahirkan perasaan atau pendapat tanpa melahirkan kemarahan atau kedongkolan adalah kunci kejayaan (Mohd. Azhar Abdul Hamid, 2003;80). Salah satu alat yang penting dalam kemahiran sosial adalah kemahiran komunikasi yang berkesan yakni perlu melibatkan perasaan emosi secara positif dan konstruktif. Justeru, kemahiran sosial juga amat penting kepada manusia terutama pelajar dalam memburu kejayaan disamping kecerdasan intelek yang tinggi.

Peritiwa “Bersumpah Berteguh Janji” bab 2 Sulalatus Salatin memperlihatkan wacana kemahiran sosial yakni antara pihak raja dengan pihak rakyat sekaligus dapat menggambarkan perhubungan kedua-dua belah pihak dalam menentukan corak atau hala tuju sesebuah kerajaan. Peristiwa itu bermula apabila Seri Teri Buana yang mewakili pihak raja berkahwin dengan Raden Ratna Cendana Puri, anak Demang Lebar Daun yakni mewakili rakyat. Perjanjin atau waad telah dipersetujui oleh kedua-dua pelah pihak sebelum perkahwinan yakni menetapkan golongan raja tidak akan melakukan kezaliman kepada rakyatnya dan golongan rakyat tidak akan menderhaka kepada rajanya melainkan raja dahulu yang menzalimi rakyat. Sekiranya rakyat menderhaka kepada raja, Allah akan menterbalikkan bumbung rumahnya ke bawah dan kakinya ke atas manakala raja menzalimi rakyat, Allah akan membinasakan negeri dan kerajaannya yang diperihalkan :

“……Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman.” Maka sembah Lemang Daun, “janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri Teri Buana, “hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Melayu itu dehaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga…….”( Sejarah Melayu :25-26)

Demikian waad yang ditetapkan untuk meletakkan garis pemisah antara rakyat dan raja yakni relevan hingga ke hari ini. Justeru, pengkaji akan menyedari betapa pentingnya kemahiran membina perhubungan demi perhubungan lebih positif sebagaimana antara raja dan rakyat.

3.0 KECERDASAN INTELEK

Di antara unsur utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang cuba diterapkan oleh guru kepada para pelajar adalah unsur intelek. Unsur ini sering dianggap perkara yang paling penting yang sesuai diterapkan oleh sesetengah guru. Walau bagaimana pun, seseorang guru yang bertanggungjawab tidak sekadar memandang unsur intelek sebagai unsur utama sebaliknya perlu menggabungkan semua unsur untuk disemai dalam jiwa pelajar. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;86) kecerdasan intelek adalah kecerdasan otak atau merujuk kepada kemampuan otak berfikir, memahami dan menaksirkan yakni mengaitkan kecerdasan intelek membantu menyelesaikan masalah dengan cara memikirkan masalah itu secara kritis dan kreatif, mendalami pemahaman masalah itu supaya mencari langkah terbaik bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Unsur intelek memberi tumpuan kepada daya berfikir seseorang pelajar yang meliputi beberapa ciri iaitu mempunyai kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikir secara kritis dan kreatif serta memanfaatkan ilmu untuk diri sendiri dan orang lain. Unsur intelek yang sedia ada pada seseorang atau pelajar tersebut mampu digunakan untuk dikongsi dan digunakan dalam menggerakkan pelbagai aktiviti melibatkan daya fikir. Oleh itu, ciri yang ada pada intelek akan dilihat terkandung dalam Sulalatus Salatin yakni melihat proses daya fikir yang mampu dicungkil dalam mengkaji genre bidang kesusasteraan ini.

Bagi Nik Azis (1999) pengembangan potensi intelek dapat berlaku dalam tiga bentuk iaitu paradigma kebergantungan, ketidakbergantungan yakni boleh berdikari dalam usaha mengembangkan potensi inteleknya iaitu mempunyai kebolehan daya kreatif, visi dan inisiati dan padadigma terakhir iaitu saling bergantung pada orang lain bagi mendapatkan apa yang diingini dan tidak mempunyai daya kreatif, komitmen, kesanggupan, kemahiran dan inisiatif. Justeru, kecerdasan intelek secara umumnya dapat diuji dengan ujian kecerdasan emosi yakni bertujuan menguji sama ada kecerdasan intelek individu itu tinggi atau rendah.

Peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin memperlihatkan pengembangan potensi intelek yakni suatu usaha menggunakan proses daya fikir bagi menaksif sesuatu peristiwa yang berlaku atau telah tercatat. Justeru, melalui ujian kecerdasan intelek maka, sesuatu kecerdasan intelek seseorang dapat dinilai sama ada tinggi atau rendah. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;87) skor markah kecerdasan digunakan bagi menguji sama ada kita berpotensi daripada segi akademik ataupun tidak. Jika markah IQ tinggi, ini bermaksud seseorang berkemampuan menggunakan pengetahuan bagi mencapai matlamat dengan mudah sebaliknya jika markah IQ rendah seseorang akan hanya mencapai matlamat dalam suatu masa yang panjang. Ujian atau peperiksaan merupakan alat yang sesuai untuk menguji potensi intelek individu yakni mengaitkan beberapa aras soalan berkaitan peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin.

Peristiwa waad “Bersumpah Berteguh Janji” bab 2 contohnya dapat dikaji dan dijadikan soalan bagi menguji IQ seseorang pelajar yakni berkaitan sama ada ciri-ciri atau perlaksanaan waad oleh golongan raja dan rakyat. Guru menyediakan soalan bagi melihat reaksi IQ pelajar tentang pembelajaran yang telah diajar serta dapat mengetahui sama pelajar mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang dibangkitkan melalui soalan. Pelaksanaan waad oleh golongan raja dan rakyat dapat dinilai melalui dua implikasinya iaitu kepatuhan kepada waad dan pelanggaran waad yang membawa balasan. Jika waad dipatuh antara kedua-dua belah pihak maka sesebuah negara berada dalam keadaan aman dan makmur sebaliknya jika waad tidak dipatuhi maka sesebuah negara akan ditimpa bencana seperti dapat dilihat pelanggaran waad oleh pembesar dan rakyat melalui peristiwa penderhakaan Hang Jebat yang diperihalkan:

“……..Maka Seri Nara Diraja pun berdatang sembah: “Tuanku, patik memohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat mengenang hang Tuah, orang yang sudah mati; patik pun adalah khilaf, kerana belum patut hukumnya mati; kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba ke bawah duli yang Dipertuan. Maka titah Sultan Mansur Syah, “sebab itulah maka kita mengenang Si Tuah, Jika ia ada, tadilah sudah diperhapuskan pekerjaan si derhaka itu; saying Si Tuah tiada!......” ( Sejarah Melayu :139)

Peristiwa pelanggaran waad yakni penderhakaan Hang Jebat di Melaka diperihalkan apabila Hang Jebat bangkit membela kematian sahabatnya, Hang Tuah yang dihukum bunuh kerana fitnah. Justeru Hang Jebat bertindak membabi buta yakni menderhaka kepada raja dan seluruh istana dengan merampas istana dan menghalau segala penghuni istana termasuk Sultan Mansur Syah. Maka Sultan Mansur Syah meganggap Hang Jebat sebagai penderhaka sebagaimana pada petikan di atas. Kesan derhaka Hang jebat menyebabkan ia ditikam mati oleh Hang Tuah dan manyatnya dibuang ke laut serta anak dan isterinya turut dibunuh dan kaki tiang rumah dan tanah bekas rumah Hang Jebat digali dan dibuangkan kelaut. Itu adalah salah satu peristiwa pelanggaran waad antara rakyat kepada raja sebagaimana perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Melalui peristiwa ini, pelajar akan dapat mengembangkan IQ dan mengaikan sesuatu peristiwa dengan impak atas perbuatan yang dilakukan. Pelajar yang berpotensi IQ tinggi sememangnya dapat mengaitkan peristiwa ini dalam hujahan yang baik namun sebaliknya pelajar yang IQ rendah memerlukan masa yang lebih untuk memahami dan mengaitkan sesuatu peristiwa bersama hujahan yang baik.

Konsep kesetiaan juga dilihat dapat menguji unsur IQ pelajar sama ada mampu mengaitkan sesuatu peristiwa dan memberi hujahan dengan baik. Kesetiaan yakni akur, taat serta patuh merupaka salah satu nilai daripada kaca mata masyarakat Melayu lama. Menurut Zainal Kling (2009;12) kesetiaan merupakan penyerahan diri secara taat setia tanpa membantah serta sanggup menyumbang kebaktian kepada raja yang tidak terbatas meskipun tindakan tersebut di luar batas kemanusiaan. Penderhakaan merupakan hal utama yang mengangkat konsep kesetiaan yang unggul melibatkan kepatuhan sehingga sanggup bekorban apa sahaja semi memenuhi kehendak serta kemahuan raja. Justeru, bagi pelajar yang mempunyai IQ yang tinggi mampu memberi hujah yang kritis terhadap konsep kesetiaan beserta contoh yang sesuai yakni seperti kesetiaan Tun Perak yang diperihalkan dalam peristiwa “Ditolak Bumi Melaka” bab 7:

“…….Maka orang pun gemparlah; segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun semuanya keluar dengan alat senjatanya. Maka Bendahara Paduka Raja pun keluar bertanya, “Apa sebab gempar ini?” Maka kata orang itu, “Anakanda Tun Besar mati dibunuh oleh Raja Muhammad!” Maka segala perihalnya semua dikatakan orang pada Bendahara Paduka Raja. Maka kata Bendahara, “Mengapatah maka kamu semua berlengkap ini?” Maka sahut segala anak buah Bendahara, “sahaya semua hendak terbalas akan kematian saudara sahayasemua!” maka kata Bendahara Paduka Raja, “Hei! Hei! Hendak derhaka ke bukit? Hendak derhakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan.” Maka segala akan anak-anak Bendahara Paduka Raja pun diamlah sama-sama; masing-masing menyimpan senjatanya. Mayat Tun Besar pun ditanamkan oranglah…..”( Sejarah Melayu :153)

Peristiwa di atas menonjolkan kesetiaan Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang menunjukkan walaupun anaknya Tun Besar dibunuh oleh Raja Muhammad. Tun Besar yang secara tidak sengaja telah menyepak bola sepak raga sehingga mengenai destar Raja Muhammad yang tanpa budi bicara terus menikam Tun Besar hingga mati. Walau bagaimanapun, demi waad dan kesetiaan Bendahara Paduka Raja akan Sultan Mansur dan Raja Muhammad maka ia melarang sahabat-sahabat Tun Besar yang ingin membalas atas perbuatan Raja Muhammad dengan usaha membunuhnya. Kesetiaan dan kepatuhan Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah dapat menyelamatkan keadaan daripada berlakunya penderhakaan anak-anaknya yang akhirnya akan membinasakan antara kedua-dua belah pihak. Akhirnya juga, Sultan Mansur Syah bertindak menghantar Raja Muhammad ke negeri Pahang dan dirajakan di sana yakni sepatutnya menjadi pengganti raja Melaka.

Peristiwa atau konsep yang diperkenalkan dalam Sulalatus Salatin mampu membolehkan pengkaji khususnya pelajar menggunakan idea atau pengalaman sedia ada untuk berfikir dan dapat merungkaikan persoalan sesuatu peristiwa atau tindakan yang dilakukan. Kedua-dua peristiwa di atas adalah beberapa contoh sesuai yang menampakkan cara pelajar memperkembang dan memperkayakan pengetahuan intelek dan akhirnya dapat menjana kecerdasan berfikir sesuai dengan persekitaran yakni relevan untuk dipraktikkan. Sebagai contoh pada hari ini, seringkali sesetengah pihak cuba menjatuhkan institusi diraja dan sekaligus cuba menderhaka walhal raja sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai kuasa tertinggi pemerintahan negara yang patut di daulatkan. Secara tidak langsung pelajar dapat mengaitkan dengan kehidupan masa kini dan memikirkan kesan sekiranya berlakunya penderhakaan dan hilangnya kedaulatan raja yakni masyarakat akan hidup dalam suasana berpecah-belah dan membinasakan sesebuah negara ekoran hilangnya kuasa daulat.

Pembelajaran ke atas genre kesusasteraan mampu mencetuskan kecerdasan intelek yakni mencetuskan tindakan daya fikir seseorang pelajar yang dipelajarinya serta sentiasa berubah dari semasa ke semasa selain dari realiti fakta kecerdasan yang menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;89) kecerdasan dapat dipelajari dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa sepanjang hayat dan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya lapan jenis kecerdasan kerana otak manusia adalah unik. Lapan jenis kecerdasan ini dikenali sebagai teori kecerdasan pelbagai yang diasaskan Howard gardener (1983) yakni merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat ataupun kemahiran yang wujud secara semula jadi. Menurut David Perkins (1995) lapan kecerdasan yang dikenalpasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Justeru, Sulalatus Salatin dapat dikenal pasti menjadi asas kepada beberapa alat kecerdasan tersebut.

Justeru, kajian teks Sulalatus Salatin mampu mencetuskan kecerdasan intelek adalah bersesuaian dan relevan digunakan pelajar bagi mengembangkan daya kecerdasan intelek melalui peristiwa yang bersesuaian. Genre ini patut dikaji dengan teliti oleh pelajar kerana ia sarat dengan pelbagai unsur dalam usaha mengcungkil potensi minda pelajar kelas pertama.

4.0 KESIMPULAN

Pelaksanaan unsur-unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran merangkumi pengajian kesusasteraan Melayu adalah suatu usaha yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh guru supaya pelajar dapat menjana kecerdasan emosi dan intelek sejajar dengan matlamat Sukatan Pelajaran kesusasteraan Melayu Tingkatan Enam yakni:

“mempertingkatkan pengetahuan pelajar tentang Kesusasteraan Melayu melalui pemelajaran sejarah, teori, kritikan, dan genre sastera. Sukatan pelajaran ini bertujuan untuk menyuburkan pertumbuhan dan perkembangan rohani pelajar menerusi penghayatan karya-karya pilihan yang berfungsi sebagai cerminan kehalusan seni, budi, pemikiran, intelek, penyataan rasa, dan budaya bangsa Melayu”.

Justeru, kedua-dua unsur yakni kecerdasan emosi dan intelek patut diseimbangkan agar pelajar mendapat manfaat hasil pengajian genre kesusasteraan dan sekaligus dapat dipraktikkan dalam hidup bermasyarakat khususnya Malaysia yang hidup bercorakkan kepelbagaian budaya dan norma demi mencapai sasaran konsep 1 malaysia iaitu berketrampilan dalam menjana dan menjadikan kesusasteraan sebagi produk penyatuan bukan sahaja sesama kelompok masyarakat malah kepada sumber-sumber lain seperti alam dan sebagainya seperti yang diperihalkan matlamatnya:

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

Kajian Sulalatus Salatin dianggap relevan sehingga kini dan mampu mengkaji beberapa aspek yang menjadi nadi kepada sejarah peradaban dan ketuanan Melayu. Jadi tidak hairanlah Sulalatus Salatin diangkat menjadi sebuah karya agung yang termuat salasilah keturunan raja-raja yang didaulatkan sehingga kini yakni menjadi nadi kepada negara dan bangsa sebagaimana juga telah menjadi salah satu prinsip 1 Malaysia iaitu kesetiaan merangkumi kesetiaan kepada raja dan negara yang juga menjadi prinsip Rukun Negara kedua wajib dipegang oleh masyaraktnya. Melalaui Sulalatus Salatin inilah bermulanya kecerdasan emosi dan intelek khusunya kepada pelajar yakni generasi baru supaya dapat memahami teras penulisan Tun Sri Lanang yang relevan sehingga kini, juga menjadi nadi kepada pembentukan wilayah 1 Malaysia.