Monday, March 15, 2010

OLEH: MOHAMAD ROSMIZI BIN MAHAMAD

PENSYARAH: DR. MOHAMAD LUTFI BIN ABDUL RAHMAN


TAJUK

Berdasarkan sebuah teks tradisional dan sebuah teks moden, perlihatkan konsep ‘contextual theory of art’ dalam membuktikan karya sastera itu bukan lahir daripada kekosongan.



Bidang sosiologi merupakan satu kajian saintifik yang mengkaji tentang masyarakat, sesebuah institusi dan politik. Bidang ini menkaji secara objektif dan saintifik tentang kehidupan manusia dalam masyarakat dan mengkaji institusi sosial iaitu seperti bidang pendidikan, politik, dan lain-lain serta turut mengkaji proses sosial seperti pembangunan dan kemiskinan berdasarkan realiti, ketepatan fakta dan data yang kukuh. Maksud sosiologi ini ditranskripsikan melalui kata Laurenson dan Swingwood (1972;11) :

Sociology is essentially the scientific, objective study of man in society, the study of social institution and of social processes; it seeks to answer the question of how society is possible, how it works, why it persists.

Berikut pula, dilihat dalam bidang sastera yang merujuk kepada bentuk sosial sesebuah masyarakat yang mempengaruhi emosi, perasaan dan pengalaman silam untuk diperinci secara lebih mendalam. Sebagaimana yang dikatakan oleh M.K Danziger dan W.S Johnson yang diterjemahkan oleh Johan Jaafar e.t all. (1983;1) Bila kita mengatakan bahawa media kesusasteraan ialah kata-kata, kita sebenarnya melihat lebih jauh dari maksud asal literature yang berasal dari perkataan Latin littera (letter) yang bermaksud utamanya ialah kata-kata yang tertulis dan tercetak.

Ini bermakna bidang sastera melingkupi keseluruhan tentang kehidupan masyarakat sehingga menembusi perasaan dan pengalaman manusia secara mendalam selain diselitkan dengan unsur-unsur keindahan. Malah Menurut Swingewood (1972:12), ada kaitan yang erat antara sastera dengan dunia sosial seseorang pengarang yang saling berkaitan. Berdasarkan titik pertemuan antara bidang sosiologi dan bidang sastera, kedua-duanya adalah tertumpu kepada kehidupan manusia dengan menggunakan medium bahasa sebagai perantara. Kedua-dua bidang ini dipisahkan berdasarkan pemikiran zaman modenisme yang akhirnya disangkal dan dirobohkan oleh golongan pemikiran pascamodenrnisme.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sastera adalah amat berkait dengan masyarakat yang menampilkan kehidupan yang luas, berbentuk realiti kehidupan secara objektif dan subjektif sebagaimana menurut Dissanayake, (1991;1) karya sastera telah digunakan sebagai satu cara untuk membawa wacana budaya dan kehidupan sesuatu masyarakat yang lebih luas dan dilihat saling berhubungan. Seseorang pengarang akan meniru sesuatu persekitaran masyarakat sekelilingnya sama ada memaparkan situasi sosial, ekonomi dan politik yang kemudiannya akan digarap dalam penghasilan karyanya melalui proses mediasi. Proses mediasi merupakan suatu pengubahsuaian daripada yang asal kepada yang baru tetapi masih mengekalkan benda atau tujuan yang sama. Dengan demikian, karya sastra dapat dipandang sebagai usaha untuk menciptakan kembali dunia sosial sesebuah masyarakat.

Apabila dikatakan sastera itu berada dalam kontek masyarakat, maka secara langsungnya kita berbicara tentang topik perbincangan utama iaitu konsep ‘contextual theory of art’ iaitu memperlihatkan seni itu berada dalam kontek. Kebijaksanaan seseorang pengarang dalam penghasilan sesebuah karya tidak lagi dilihat dari sudut ketajaman penulisannya, sebaliknya melihat isi cerita yang diambil melalui peristiwa atau pengalaman pengarang itu sendiri yang berada dalam kontek. Oleh itu, sesebuah teks adalah sarat dengan tulisan yang berbilang daripada budaya dengan mengetepikan pengarang sebagai genius, sebagaimana menurut Barthes dalam Janet Wolff (1981;27) :

A text is made of multiple writings, drawn from many cultures and entering into mutual relations of dialogue, parody, contestation, but there is one place where this multiplicity of focused and that place is the reader, not, as was hithero said, the author… A text’s unity lies not in its origin but in its destination… The birth of the reader must be at the cost of the death of the Author….

Berdasarkan pengalaman datangnya teks demi mewujudkan pelbagai rasa antaranya pengajaran, kekaguman dan keajaiban. Menurut Mana Sikana hasil selenggara oleh Mohamad Daud Mohamad dan Huszaidi Hussin (2006;56) Pengalaman membentuk teks yang teruji bahannya, hadir daripada kerumitan dan kemurungan kehidupan budaya setempat, yang menjelmakan realiti yang dibawanya secara langsung dan tidak langsung. Maka, idea seseorang pengarang amat dominan adalah dianggap tidak betul, bahkan mengetepikan pengarang sebagai agen yang berkreatif sebagaimana menurut Janet Wolff (1981;27) :

In the case of literature, the idea that the author is dominant, the sole origin and source of authentic meaning of a text, is historically specific, and, moreover, mistaken….

I shall begin by reviewing those aspects of the sociological analysis of art and literature which increasingly marginalize the author as creative subject….

Oleh itu, konsep ‘contextual theory of art’ yang ternyata menolak genius seseorang pengarang kerana menyakini bahawa pengarang itu mengambil pengalaman persekitarannya yang berada dalam kontek akan dilihat dalam sebuah teks tradisional iaitu Sejarah Melayu dan sebuah teks moden iaitu novel Tunggul-tunggul gerigis.

Kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sejarah Melayu banyak memperlihatkan sistem pemerintahan zaman lampau yang diamalkan oleh pembesar dahulu-kala yang ditulis oleh tokoh pengarang terkenal iaitu Tun Seri Lanang. Oleh itu, teks ini amat sesuai dengan konsep ‘contextual theory of art’ iaitu pengarang (Tun Seri Lanang) memaparkan kontek budaya pemerintahan zaman lampau bermula dengan pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain hingga ke zaman kegemilangan serta zaman kejatuhan pada pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Pengarang menjadikan teks ini berdasarkan pengalaman yang berkait dengan peristiwa pemerintahan pada waktu berkenaan sebagai garapan dalam penulisan dan bukannya dari daya intelek dan rekaan semata-mata.

Sejarah Melayu secara inti pati membicarakan tentang kerajaan melayu dan raja-raja Melayu yang kekal memerintah bukan sahaja di Melaka tetapi turut menguasai beberapa jajahan takluknya. Unsur ‘supernatural’ yang ada pada golongan raja membolehkan rakyat mentaati raja dengan budaya berteraskan ‘daulat’. Sebagaimana yang dikatakan oleh Bausin (1979;12) Sejarah Melayu sama seperti kebanyakan karya istana, dikarang dalam satu persekitaran budaya sintesis Hindu-Islam dengan kesan Hindu masih menebal di istana, raja dianggap adalah avatar, iaitu penjelmaan dewa daripada beberapa kitaran kelahiran yang mengganugerahkannya dengan kuasa sakti atau ‘supernatural’ yang kemudiannya membentuk kuasa yang dipercayai sebagai daulat. Jadi, persekitaran itulah membentuk ketaatan rakyat kepada raja sebagai suatu kontek kehidupan antara golongan rakyat dengan golongan istana yang dilihatnya masih relevan sehingga kini.

Pengarang cuba melakarkan kembali peristiwa pemerintahan zaman silam dengan kebolehannya menggarap melalui proses mediasi. Tun Seri Lanang diperintahkan oleh raja atas kebijaksanaanya menggarap secara keseluruhan gambaran pemerintahan golongan raja kerana beliau turut berada dalam situasi pada masa itu dan bertujuan supaya diketahui oleh generasi akan datang yang dipetik berdasarkan selenggaraan A. Samad Ahmad (2003;3) :

…Titah yang mulia itu, “Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada bendahara peri persetua dan peri pertuturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali; supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian dari kita, diingatkannya oleh mereka itu; syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya.

Sejarah Melayu turut memperlihatkan kontek istiadat, adat resam dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat zaman silam iaitu pengarang tidak menjadikan teks ini sebagai teks yang kosong atau hanya sekadar berimajinasi dengan mainan fikiran semata-mata. Pengarang melihat kepada peristiwa persekitarannya yang mempengaruhi penulisannya. Oleh itu, Tun Seri Lanang yang melalui kontek persekitarannya menggarap beberapa adat istiadat yang berlaku pada waktu itu antaranya “kekuningan larangan”, “Larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung” dan “Susunan tertib adat dan istiadat Diraja” iaitu dilihat sama ada untuk menjunjung duli, menyampaikan dan mempersembahkan utusan serta adat ketika berada di balairung. Sebagai contoh diambil adat menjunjung duli kepada raja dalam Sejarah Melayu hasil selenggara A. Samad Ahmad (2003;75) :

Syahadan jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk di seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-besar. Adapun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya; melainkan puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan kanan;…..

Berdasarkan istiadat yang digarap oleh pengarang melalui kontek peradaban masyarakat zaman silam, maka Tun Seri Lanang menulis Sejarah Melayu melalui pengalamannya dengan menambahkan lagi bentuk penulisan melalui proses mediasi bagi menyakinkan pembaca serta bertujuan menambahkan lagi kesetiaan dan kedaulatan rakyat kepada raja. Sebagaimana menurut Noriah taslim yang diselenggarakan Abdul Rahman Haji Ismail dan Haron Daud (2003;53) Keadaan ini mencipta ruang khas kepada raja, dengan perenggan budaya yang nyata serta ruang istana yang demikian menjadi ruang ekslusif yang penuh dengan pantang larang dan tatatertib istana. Oleh itu, pantang larang mempengaruhi pengarang untuk memperlihatkan pengalamannya ketika itu sebagai pengaruh dalam penulisannya yang sehingga kini pun masih dipraktikkan sebagai jurang sosial antara golongan rakyat dengan raja.

Gambaran politik Melayu zaman silam juga dapat dilihat dalam Sejarah Melayu yang diolah pengarang berdasarkan konsep ‘contextual theory of art’. Pengarang memperihalkan pengalaman kontek zaman itu berkaitan dengan sistem politik yang diperintah oleh golongan pentadbir melalui peristiwa yang diolah. Pengalaman pengarang menjadikan teks ini penuh dengan plot berkisar tentang aspek politik dan kuasa, sebagaimana menurut Noriah taslim yang diselenggarakan Abdul Rahman Haji Ismail dan Haron Daud (2003;50) Oleh kerana tema politik dan kuasa (di samping pelbagai tema lain) membentuk semacam arus bawah dalam perjalanan plotnya, dan aspek ketahanan politik dan pengekalan kuasa menjadi agenda utama pengarang Sulalatus Salatin, maka bacaan diselinapi niat untuk meneliti strategi yang dirancangkan oleh pengarangnya bagi menjamin ketahanan politik kerajaan Melayu abad ke-17 seperti yang diungkapkan dalam Sulalatus Salatin. Oleh itu, Sulalatus Salatin bukanlah teks yang lahir dari kekosongan, iaitu pengarang hanya sekadar berimaginasi atau mengolah atas bakatnya semata-mata sebaliknya mencakupi segala pemerintahan politik yang berlaku pada sekitar zamannya.

Sebagai contoh sistem politik semasa pemerintahan sultan Mansur Syah iaitu pengarang menulis berasaskan pengalaman semasa zaman itu yang memperlihatkan bagaimana kontek masyarakat memperlihatkan daulat raja dikaitkan dengan kuasa ghaib yang juga melindungi rakyat dan negeri daripada musuh. Berkat daulat raja, maka sistem politik Melaka berjaya dipertingkatkan dan golongan pemerintah seperti menteri berada dalam keadaan pemerintahan sejahtera untuk sama-sama menamatkan permusuhan dan menjalinkan hubungan antara Melaka dengan siam seperti yang dipetik hasil selenggara A. Samad Ahmad (2003;107) :

Adapun selama Sultan Mansur Syah di atas kerajaan itu, tiada siam datang ke Melaka, dan orang Melaka tiada ke siam. Maka fikir Sultan Mansur Syah, “Apa sudahnya kita beralangan dengan siam ini?” setelah demikian fikiran baginda, maka Sultan Mansur Syah pun menyuruh memanggil bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dan segala menteri dan orang Kaya-kaya cateria, sida-sida, bentara, hulubalang sekalian; maka semuanya masuk duduk di balai.

Seterusnya bagi membuktikan karya sastera bukan lahir dari kekosongan, teks moden iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan hasil karya Shahnon Ahmad digunakan bagi membuktikan bahawa teks ini lahir dari konsep‘contextual theory of art’. Shahnon Ahmad menghasilkan novel ini berasaskan pengaruh pengalaman setempatnya yang dilalui dari kaca mata masyarakat khususnya penduduk kampung yang mengalami masalah kemiskinan. Kesempatan beliau berada dalam kontek itu, membolehkannya mengolah kembali gambaran tersebut melalui proses mediasi dengan memperincikan watak, plot serta teknik penceritaan supaya lebih menyegarkan dan menimbulkan rasa kepada pembaca. Menurut Hamzah Hamdani dan Zeti Akhtar Jaffar (2007;11) Ranjau Sepanjang Jalan memberi kesempatan kepada beliau untuk melihat persoalan kemiskinan kaum tani serta memperlihatkan dari segi perhubungan manusia dengan alam sekeliling (termasuk haiwan, tumbuhan, tanah-tanih atau hutan) serta hubungan semua itu dengan Tuhan yang menjadikannya.

Bagi membuktikan bahawa pengarang (Shahnon) menulis novel ini berasaskan pengalaman persekitaran kontek masyarakat yang dipengaruhinya, maka dilihat juga bahawa asal usul beliau yang pernah berada dalam kelompok masyarakat yang miskin sebagaimana yang dikatakan oleh Othman Puteh (1994;75) Sebagai anak yang lahir dan dibesarkan dalam persekitaran pedalaman dan pertanian, soal kemiskinan para petani bukanlah satu perkara yang asing baginya. Oleh itu, dari kontek pengalaman persekitaran inilah mempengaruhi hasil penulisannya yang bukan sekadar pengaruh intelek semata-mata serta membuktikan bahawa teks ini bukannya lahir dari kekosongan kerana ia amat berpegang kepada dunia kontek pengarang.

Ranjau Sepanjang Jalan memperlihatkan konflik persekitaran sosial iaitu masalah kemiskinan yang berpusar pada keluarga Lahuma dan Jeha bersama tujuh anak perempuan mereka. Pekerjaan bertani adalah titik pencarian reski mereka yang diwarisi sejak nenek moyang lagi, malah menurut Md. Salleh Yaapar hasil selenggara oleh Safian Hussain e.t all. (1984;197) mereka juga adalah golongan petani yang penuh dengan kemiskinan sehinggakan mereka tidak pernah termimpi untuk menjadi petani yang lebih baik dengan pandangan moden. Lahuma pewaris tunggal kepada sawah-sawah itu berkemungkinan berdepan dengan seribu masalah yang difikirkannya. Isterinya Jeha sering membantu mengerjakan sawah yang dipenuhi pelbagai halangan dan kerja berat antaranya bayangan seperti bahaya ular, lintah, ketam, burung tiak dan benda-benda lain yang dilemparkan ke dalam sawah seperti batang nibun yang masih berduri serta bahaya dari alam iaitu bencana banjir. Shahnon menjadikan watak ini sebagai petani seolah-olah menggambarkan kehidupan para petani lain yang hidup susah dengan mengerjakan sawah biarpun terpaksa berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Karya ini menimbulkan konflik masyarakat dengan gambaran kehidupan petani melalui watak keluarga Lahuma. Lahuma sendiri begitu malang apabila dalam mengerjakan sawah, kakinya telah ditusuk oleh duri nibung sehingga bengkak dan membesar serta merebak hingga ke perut dan kemudiannya membawa kematian iaitu dapat dilihat dalam petikan berikut :

Lahuma sudah meninggal dunia. Jeha dan tujuh orang anak perempuannya sudah maklum dengan ketentuan ILAHI. Lahuma sudah pulang diambil oleh ALLAH. Nadi Lahuma sudah tidak berdenyut lagi. Baik nadi di dada, baik anak nadi di pergelangan tangan. Kesemuanya tidak berdenyut lagi. Air kekuning-kuningan meleleh keluar melalui segenap lubang di badan. Lubang punggung, lubang kemaluan, lubang telinga, lubang hidung, mulut dan juga lubang-lubang bulu roma yang halus-halus itu. Jeha Mengesat air itu dengan kain buruk. Shahnon Ahmad (2006;156).

Oleh itu, menurut Ungku maimunah Mohd Tahir hasil seleggaraan Othman Puteh (1994;75) Shahnon menyatakan bahawa apabila ia menulis novel Ranjau Sepanjang Jalan, beliau dihantui oleh satu masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu tani iaitu kemiskinan selain sebagai anak yang lahir dan dibesarkan dalam persekitaran pedalaman dan pertanian, soal kemiskinan para petani bukanlah satu perkara yang asing baginya. Maka, dapat diperhatikan bahawa teks ini penuh dengan ruang kontek yang memperihalkan masalah sosial khususunya para petani kampung yang hidup dalam kemiskinan ditambah pula dengan musibah yang menimpa mereka bagi menimbulkan rasa melankolik atau kesedihan pada kehidupan mereka. Begitulah keadaan atau situasi sebenar yang digambarkan pengarang melalui kehidupan para petani yang berdepan dengan pelbagai dugaan melalui jelmaan watak pada keluarga Lahuma.

Berbalik pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, tidak cukup dengan kematian Lahuma, penderitaan Jeha pula digambarkan pengarang terus menimpanya bagi menunjukkan keadaan petani yang sering dihimpit musibah. Serangan ketam dan bencana banjir menyebabkan Jeha berada dalam tekanan emosi sosial dan telah dihatar ke rumah sakit jiwa. Sebaik reda dari pelbagai musibah disamping pertolongan anak-anak, padi yang mereka usahakan tumbuh dengan baik. Tetapi akhirnya musibah datang kembali setelah padinya musnah diserang burung tiak serta penderitaan Jeha yang menjadi lebih bermosi hingga terpaksa dikurung setelah mendapati keadaan yang menimpa keluarga mereka seperti mana pada petikan berikut:

Tiba-tiba Jeha tertawa terkekeh-kekeh apabila pandangan kedua-dua belah matanya tertumpu kepada bakul-bakul padi yang tersusun dan penuh dengan padi baru. Pagar kurungan itu digoncang-goncang dan ditendang-tendang bagaikan mengamal lagak yang lama waktu dia berada di dalam kurungan itu dulu. Pintu pagar itu ditolak. Jeha menerpa masuk. Bakul-bakul itu dipeluk dan kemudian menggerapai padi-padi yang ada di dalam. Padi-padi itu diramas-ramas dan bakul-bakul itu dipeluk-peluknya. Shahnon Ahmad (2006;325).

Teeuw menyebutkan (1980:11), karya sastra bukanlah terlahir dari kekosongan budaya tetapi menampilkan gambaran kehidupan, dan kehidupan itu sendiri adalah suatu kenyataan sosial. Oleh itu, Ranjau Sepanjang Jalan dilihat sebagai salah satu sosial kehidupan petani yang dihimpit pelbagai masalah sepertimana digambarkan pada keluarga Lahuma. Hal tersebut sesuai dengan pandangan yang menyatakan bahwa apa yang diungkapkan pengarang dalam karyanya adalah merupakan refleksi atau potret kehidupan atau alam yang dilihatnya (Fananie, 2000:111).

Kontek kemiskinan khususnya para petani menjadi nadi kepada pengarang dengan mengaitkannya melalui persekitaran yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sesuai dengan pekerjaan itu yang dilihatnya masih kuat dikerjakan oleh sesetengah penduduk Melayu. Pendapatan yang diperoleh tidak seberapa walhal terpaksa berdepan dengan jerih payah yang begitu sukar untuk membuahkan hasil sepertimana yang digambarkan pada petikan dibawah iaitu terpaksa berdepan dengan binatang perosak seperti burung tiak dan juga kemusnahan alam seperti banjir. Bahkan menurut Ungku maimunah Mohd Tahir hasil seleggaraan Othman Puteh (1994;73) Shahnon Ahmad merujuk penggunaan hiperbola seperti babak serangan ketam, burung, dan sebagainya melampaui realiti sebenar. Ini seterusnya dapat menimbulkan ruang rasa kepada pembaca serta kesedaran betapa susahnya kehidupan yang dilalui oleh golongan petani.

Sanah menjerit dan tompok-tompok tiak yang berdekatan dengannya terbang sekejap, tetapi kemudiannya terbang pula. Dan apabila kedatangan itu kena di tempat semek, dia terus bersorak dan menggoncang-goncang dahan itu. Tetapi tiak tidak juga nampak surut. Mereka datang lagi dengan suara yang memekakkan telinga pula. Mereka dikejar lagi. Terbang ke rimba dan kemudian datang lagi hingga sampai tengah hari. Panas mulai terik.. Shahnon Ahmad (2006;306).

Kontek kemiskinan seperti pada watak keluarga Lahuma adalah menjadi lambang dan mewakili seluruh keluarga petani yang terdapat di tanah air sepertimana menurut Umar Junus selenggaraan oleh Hamzah Hamdani (1990;214) keadaan keluarga Lahuma itu sendiri merupakan suatu lambang daripada kehidupan pasif para petani Melayu. Kepasifan kehidupan keluarga Lahuma inilah digunakan Shahnon untuk melambangkan kepasifan kehidupan petani-petani Melayu sehingga mereka selalu mengalami bencana. Oleh itu, ruang kontek yang mempengaruhi pengarang membolehkannya mengungkap terhadap apa yang dialami oleh masyarakat setempat yang membicarakan persoalan tentang kemiskinan sepertimana gambaran terhadap keluarga Lahuma. Campuran kesan-kesan penghayatan dan juga simbolik ditopok-tambahkan bagi melahirkan keadaan melankolik pada kaca mata pembaca yang seterusnya dapat menimbulkan rasa kemanusiaan masyarakat pada nasib golongan petani.

Berdasarkan perbicaraan mengenai konsep ‘contextual theory of art’ melalui sebuah karya tradisional iaitu Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan sebuah karya moden iaitu Ranjau Sepanjang Jalan, maka dapat dilihat bahawa kedua-dua teks ini melakarkan dunia setempat yang berbicara tentang perihal masyarakat. Pengarang tidak menghasilkan karya semata-mata menggunakan geniusnya sebaliknya melihat pada kontek persekitarannya yang tumpah melalui proses mediasi dengan menopok-tambahkan sesuatu pengalaman persekitarannya supaya karya itu lebih berjaya dirasai oleh pembaca sesuai dengan keadaan realiti sebenar. Teeuw menyebutkan (1980:11), karya sastra bukanlah terlahir dari kekosongan budaya tetapi cukup kuat memperlihatkan norma-norma yang sama-sama dirasai. Jadi, sesebuah teks sastera adalah penuh dengan peristiwa kehidupan yang sama-sama dirasai pengarang yang sensitif untuk diolah dan diungkapkan ke dalam karyanya.

Oleh itu, jelaslah terbukti bahawa sesebuah teks yang dihasilkan pengarang bukanlah lahir dari idea geniusnya semata-mata, malah menjadikan peristiwa persekitarannya sebagai salah satu bentuk penulisan bagi membentuk sebuah teks yang bernilai. Dalam merefleksikan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan itu melalui karya sastra, seorang pengarang menerapkan suatu filter halus berdasarkan nuraninya, sebagaimana menurut Teeuw (1980;38) Melalui filter itu pengarang menyaring berbagai-bagai hal dalam masyarakat dan akan memberikan penilaiannya terhadap berbagai-bagai sudut yang dianggapnya menjadi suatu perkaitan dengan dunia sosial dalam kontek realiti. Maka, adalah tidak benar sekiranya seseorang pengarang hanya menggunakan idea geniusnya semata-mata. Walhal alam beserta isinya yang dihamparkan Allah adalah milik Allah semata-mata (Surah Yunus, Ayat 55 dan 66), dan memang sangat layak menjadi sumber segala keindahan, dan menjadi satu-satunya sumber yang ditiru dalam hasil seni sebagai dorongan atau cerminan dalam kontek masyarakat yang dilihat sebagai saling berkaitan.

BIBLIOGRAFI

........................................ tdk dilampirkan

No comments:

Post a Comment