Sunday, July 4, 2010

PPG 318

KAEDAH MENGAJAR KESUSASTERAAN MELAYU II


TAJUK:

Sulalatus Salatin :Pencetus Kecerdasan Emosi dan Intelek


OLEH

MOHAMAD ROSMIZI BIN MAHAMAD


PENSYARAH: TUAN HAJI ABDUL RAHMAN HJ. ABD. AZIZ


1.0 PENGENALAN

Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu manifestasi karya agung yang dikarang oleh Bendahara Tun Sri Lanang yakni memperihalkan salasilah jurai keturunan raja-raja Melayu yang memperteguhkan wilayah ketuanan dan kekuasaan Melayu di alam Melayu. Sulalatus Salatin adalah menjadi teks tradisional wajib untuk pelajar tingkatan 6 bagi meneruskan pemikiran pelajar kelasan pra-universiti. Justeru, Sulalatus Salatin dianggap sebagai sebuah teks yang berketrampilan dalam pencetus kecerdasan emosi dan intelek khususnya pada tahap pembelajaran pelajar pra-universiti. Pemerihalan Sulalatus Salatin dalam menggerakkan emosi dan intelek pelajar banyak terangkum melalui beberapa peristiwa yang dibangkitkan pengarang yakni bermula dengan asal usul raja dengan tokoh Iskandar Zulkarnain raja agung dari Yunani. Pemerihalan tersebut dipaparkan menerusi petikan ini:

“…..Setelah Raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu mendengar khabar Wan Empuk dan Wan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan, maka Demang Lebar Daun pun datang ke rumah Wan Empuk dan Wan Malini mendapatkan raja itu. Maka oleh Demang Lebar Daun ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke negerinya.

Maka masyurlah pada segala negeri, bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun dari bukit Si Guntang Mahameru, sekarang ada di negeri Palembang. Maka segala raja-raja daripada segala pihak negeri pun datanglah mengadap raja itu”….. ( Sejarah Melayu :85)

Demikianlah gambaran salasilah keturunan raja Melayu yang merupakan suatu penelitian yang amat penting bagi menunjukkan bahawa raja Melayu berasal dari manusia yang luar biasa. Peristiwa semacam ini dan yang lain dikaji berasaskan kecerdasan emosi dan intelek. Justeru, Penerapan Kurikulum perlu diseimbangkan dengan perkembangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ), sehingga objektif pembelajaran dapat tercapai dengan baik. IQ dan EQ itu perlu dikembangkan khusunya kepada pelajar agar dapat mencapai sasaran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seterusnya dapat menjana modaliti atau modal insan yakni sebagai asas pembentukan negara maju. Modal insan inilah merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya unsur emosi bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Akhirnya peranan guru yakni agen penyampaian pendidikan dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk mengisi keperluan negara maju 2020 yang terangkum dalam genre kesusasteraan termasuklah Sulalatus Salatin.

2.0 KECERDASAN EMOSI

Emotional intelligence (EQ) ditafsirkan sebagai kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain yakni digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Bagi Mayer dan Solovery (1993) kecerdasan emosi sebagai merujuk kepada kemahiran insaniah. Memahami emosi dan berusaha mengawalnya adalah satu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Unsur emosi dititikberatkan dalam FPK kerana unsur ini dapat menentukan tahap penerimaan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kerana pelajar yang mempunyai emosi yang stabil dapat menerima dan menerapkan apa yang diajar dengan lebih mudah dan berkesan.

Menurut Goleman (1999), kecerdasan emosi adalah satu trait yang diperlukan oleh seseorang untuk berjaya dalam kerjaya. Ianya juga berkait rapat dengan nilai kerja yang dipegang oleh seseorang dan boleh memberikan kesan ke atas prestasi kerja individu tersebut. Goleman (1995) telah mengemukakan satu teori untuk menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi emosi seseorang. Teori tersebut dikenali sebagai Teori Kecerdasan Emosi. Dapat disimpulkan bahawa kecerdasan emosi yakni subilmu yang terdapat dalam bidang psikologi yang merujuk kepada keupayaan memantau emosi sendiri dan orang lain, membezakan emosi positif dan negatif, dan menggunakannya sebagai informasi untuk berfikir serta bertindak.

Teori ini menerangkan faktor kegagalan dan kejayaan seseorang dalam kehidupan peribadi dan kerjaya masing-masing termasuk peranan yang dimainkan oleh pelajar dalam menentukan hala tuju mereka berasaskan prinsip emosi dan intelek. Goleman (1999) menyarankan lima faktor atribusi terhadap kecerdasan emosi. Faktor-faktor tersebut ialah: (1) Kesedaran Kendiri (self-awareness), (2) Pengawalan Kendiri (self-regulation), (3) Motivasi Kendiri (self-motivation), (4) Empati dan (5) Kemahiran Sosial (social skills). Oleh itu, kelima-lima elemen ini akan dilihat dalam Sulalatus Salatin melalui petikan peristiwa yang diperihalkan bersesuaian dengan eleman-elemen kecerdasan emosi.

Terdapat beberapa ciri yang dapat membantu membentuk perasaan jiwa yang kuat iaitu perasaan tenang dan tingkah laku terkawal, memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, memiliki semangat kekitaan dan perpaduan serta menghargai dan menilai keindahan dan kesenian. Unsur emosi adalah penting untuk diterapkan kepada para pelajar supaya matlamat dan wawasan negara dapat dicapai secara maksimum. Berikut adalah lanjutan pecahan lima elemen kecerdasan emosi yakni dilihat berdasarkan peristiwa dalam Sulalatus Salatin.

2.1 KESEDARAN KENDIRI

Kesedaran kendiri atau juga disebut mengenal emosi sendiri merupakan suatu pemerhatian terhadap diri dan mengakui suatu perasaan sebagai satu kejadian. Kesedaran kendiri tidak pula bermaksud seseorang itu terbawa-bawa dengan emosinya tetapi merujuk kepada keadaan seseorang itu dapat menyedari emosi yang merayap ke mindanya akibat tekanan yang dihadapi dan seterusnya menguasainya. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;80) aras ini merujuk kepada kesedaran tentang hubungan antara buah fikiran, perasaan dan tindakan. Seseorang itu juga dapat menguasai emosi serta fikiran tentang emosi tersebut dan bukan hanya sekadar sedar akan emosi tersebut. Maka, melalui kesedaran inilah seseorang atau pelajar dapat mengenali emosi diri sendiri.

Sulalatus salatin mengandungi unsur kesedaran kendiri melalui beberapa peristiwa yang dilihat relevan sebagai rangsangan kepada pelajar bagi menyedari emosi mereka. Peristiwa “Singapura Dilanggar Todak”dalam bab 4 misalnya memperlihatkan perasaan dukacita terhadap perlaksanaan hukuman Paduka Seri Maharaja kepada Tuan Jana Khatib yakni telah menilik pohon pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja yang diperihalkan :

“…..Maka suatu hari Tuan Jana Khatib berjalan di Pekan Singapura bertudung; maka ia lalu hampir pagar istana raja. Makadipandangnya pintu peranginan raja itu, ada seorang perempuandilindung oleh pohon pinang gading; oleh Tuan Jana Khatib ditiliknya pohon pinang itu belah dua.

Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka; titah baginda, “lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada di pintu maka ia menunjukkan ilmunya.”Maka disuruh baginda bunuh…..”( Sejarah Melayu :67)

Berdasarkan peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib, sememangnya pengkaji akan menimbulkan emosi dukacita terhadap perlaksanaan hukuman itu yakni hukuman bunuh akibat menunjukkan kehebatan menilik pohon pinang hingga terbelah dua adalah tidak wajar dan secara sengaja telah melanggar waad yang ditetapkan. Justeru sebagai pengkaji yakni pelajar dapat menyedari emosi sendiri iaitu dukacita terhadap hukuman raja yang dapat dikecam sebagaimana menurut Nawawee Mohammad (1992;41) fikiran raja banyak dipengaruhi acuman, berdasarkan perasaan dan fitnah yang akhirnya telah membawa bencana iaitu bencana serangan todak hingga menyebabkan rakyat terkorban ekoran berkotakan betis.

2.2 PENGAWALAN KENDIRI

Elemen pengawalan kendiri atau juga mengurus emosi sendiri pula berperanan menentukan emosi yang menguasai kita. Ianya hanya sementara sahaja walaupun seseorang itu tahu bahawa mereka tidak boleh menguasai emosi. Emosi marah seperti, ego tercabar dan keselamatan diancam akan memunculkan sesuatu rangsangan yang aktif dan tindakan cepat yang tidak diduga. Dalam SMSI (2005;39) pengawalan emosi bermakna menangani perasaan agar perasaan mampu terungkap dengan tepat, mampu menghibur diri ketika ditimpa kesedihan dan lain-lain. Beberapa kemahiran boleh dipraktikkan seperti bersendirian dan muhasabah balik apa yang berlaku dan mengalihkan perasaan marah kepada benda lain adalah tindakan yang sesuai difikirkan perlu bagi seserang untuk tidak terlalu beremosi.

Sulalatus Salatin dapat dilihat berdasarkan elemen pengawalan kendiri dalam peristiwa “Sultan Mahmud membuang kerajaan” yakni dipetik dalam bab 13. Sultan Mahmud Syah diperihalkan telah menyesal atas tindakan membunuh Bendahara Seri Maharaja dengan keluarganya. Justeru, baginda telas melepaskan jawatan sultan lalu diserahkan kepada anakandanya Sultan Ahmad Syah. Lalu Baginda akhirnya telah mengasingkan diri di hulu Melaka iaitu di Kayu Ara bersama Sang Sura yang diperihalkan :

“….Maka sultan Mahmud terlalu sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Hatta maka Sultan Mahmud pun membuangkan kerajaan baginda. Raja Ahmadlah dirajakan Baginda, bergelar Sultan Ahmad Syah. Segala pegawai dan alat kerajaan sekaliannya diserahkan baginda kepada Sultan Ahmad. Maka Sultan Mahmud Syah pun diam diri ke hulu Melaka, pada suatu tempat bernama kayu Ara; hanya Sang Sura seorang juga teman baginda…..”( Sejarah Melayu :264)

Peristiwa di atas telah menimbulkan emosi pengawalan kendiri kepada pengkaji yakni pelajar sebagai langkah melepaskan masalah agar emosi tidak lagi membuak-buak. Justeru tindakan Sultan Mahmud Syah melepaskan semua jawatan sebagai seorang Sultan dan pergi mengasingkan diri kerana menyesali kekejaman yang telah dilakukannya dikatakan relevan agar emosinya tidak lagi dibebani perasaan bersalah sehingga mampu menimbulkan keadaan yang lain sebagaimana menurut Nawawee Mohammad (1992;67) raja yang merasai berdosa dengan rela hati melepaskan kuasa kerajaan kepada keturunan yang lain dan mengasingkan diri agar pemerintahannya tidak lagi dipengaruhi kekejaman. Maka, pelajar dapat mencontohi pengawalan kendiri sebagaimana yang dilakukan Sultan Mahmud agar tidak lagi memudaratkan emosi.

2.3 MOTIVASI KENDIRI

Memotivasi kendiri yakni menjadikan emosi sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan diri untuk berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Emosi menjadi satu alat untuk memotivasikan diri dalam menghadapi bermacam perasaan seperti kecewa, bimbang, takut, panas baran dan lain-lain yakni dapat diatasi melalaui kemahiran atau kecekapan tertentu. Justeru, memotivasikan diri membolehkan seseorang menjauhi perasaan atau perlakuan negatif sebagaimana dalam SMSI (2005;40) dengan kemampuan memotivasikan diri yang dimilikinya maka seseorang itu akan cenderung memiliki pandangan yang positif dalam menilai segala sesuatu yang terjadi dalam dirinya. Jadi secara tidak langsung seseorang dapat dapat mengendalikan dorongan hati dan kekuatan berfikir positif.

Peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin turut mempengaruhi pengkaji atau pelajar dalam kerangka memotivasikan emosi kendiri. Sebagai contoh peristiwa yang dapat memotivasikan diri adalah peristiwa “Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada” dalam bab 9. Peritiwa tersebut memperihalkan Sultan Mahmud berzina dengan isteri Tun Biajid yakni anak Laksamana Hang Tuah. Ketika pulang baginda terserempak dengan Tun Biajid. Maka diketahuinya Tun Biajid akan peristiwa permukahan baginda dengan isterinya, ditimang-timangnya lembing tetapi kerana tidak terlalu emosi dan masih berfikiran rasional yakni berpegang kepada prinsip pantang Melayu menderhaka, tidaklah Sultan Mahmud dibunuhnya. Justeru, bagi menunjukkan kekecewaanya kepada baginda, Tun Biajid telah meletak jawatan dan tidak lagi berhubungan dengan istana serta turut menceraikan isterinya. Justeru emosi yang dibawa Tun Biajid mempengaruhi pengkaji sebagai contoh untuk memotivasikan diri sendiri yakni tidak terlalu emosi dan memikirkan kesan sebelum sesuatu tindakan dibuat yang diperihalkan :

“…….Maka pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari ru,ah isterinya. Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya ditimang-timangnya, kata-katanya, “Hei Sultan Mahmud, demikianlah pekerjaan tuan hamba akan hamba? Saying tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama Si Biajid anak laksamana Hang Tuah……”( Sejarah Melayu :193)

2.4 EMPATI

Elemen empati atau juga disebut sebagai memahami, mengenali dan merasai emosi orang lain merupakan suatu pemahaman terhadap emosi orang lain yakni dapat dilihat melalui pergerakan seperti tindakan bukan verbal iaitu nada suara, ekspresi muka, gerak badan (kinestetik) dan lain-lain. Menurut Goleman (2002;57) kemampuan seseorang untuk mengenali orang lain atau peduli, menunjukkan kemampuan empati seseorang. Justeru, individu yang mempunyai perasaan empati cukup berperasaan merasai perasaan emosi orang lain, malah perlakuannya lebih dari simpati yakni hanya setakat memahami masalah atau perlakuan seseorang. Seseorang yang mampu membaca emosi orang lain juga memiliki kesadaran diri yang tinggi. Semakin mampu terbuka pada emosinya sendiri, mampu mengenal dan mengakui emosinya sendiri, maka orang tersebut mempunyai kemampuan untuk membaca perasaan orang lain (Goleman, 2002;172).

Sulalatus Salatin turut mengandungi peristiwa yang dapat mempengaruhi emosi empati kepada pengkaji yakni dilihat dalam peristiwa “Satu Cara Mengelak Pecah-belah” bab 5. Peristiwa ini berkisar mengenai perbalahan pembesar antara Paduka Raja Tun Perak dengan Seri Nara Diraja hingga menimbulkan semangat berpuak-puak tidak bermuafakat antara satu-satu pihak. Maka, Sultan Muzzafar Syah mengatasi masalah perpecahan tersebut dengan kesanggupan dan pengorbanannya menceraikan permaisuri baginda, Tun Kudu dan dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Memandangkan Tun Kudu ialah kakak Tun Perak, maka mereka menjadi ahli keluarga dan berdamai. Justeru dilihat di sini perasaan empati Sultan Muzzafar terhadap persengketaan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja hingga campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu, bahkan sanggup menceraikan Tun Kudu semata-mata untuk mendamaikan mereka. Peristiwa ini telah menjadi satu contoh kepada pembaca untuk melahirkan perasaan empati yakni bukan sahaja simpati malah turut merasai dan secara langsung melibatkan diri dalam sesuatu situasi dengan usaha tertentu yang diperihalkan:

“……Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu, maka terlalu dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir baginda, “jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besar tiada muafakat sama orang besar.” Maka baginda berbicara hendak dimuafakatkan antara kedua Orang Besar itu; maka Sultan Muzaffar Syah menyuruh memanggil Seri Nara Diraja…..” ( Sejarah Melayu :92-93)

2.5 KEMAHIRAN SOSIAL

Kemahiran sosial atau membina dan memelihara perhubungan dengan orang lain merupakan keupayaan seperti pengurusan kendiri dan berempati yakni dapat membentuk kuasa interpersonal dan intrapersonal bagi menjalinkan hubungan menjadi lebih positif. Dalam SMSI (2005;40) seni dalam membina hubungan dengan orang lain merupakan ketrampilan sosial yang mendukung keberhasilan dalam pergaulan dengan orang lain. Justeru perhubungan yang baik mampu melahirkan perasaan atau pendapat tanpa melahirkan kemarahan atau kedongkolan adalah kunci kejayaan (Mohd. Azhar Abdul Hamid, 2003;80). Salah satu alat yang penting dalam kemahiran sosial adalah kemahiran komunikasi yang berkesan yakni perlu melibatkan perasaan emosi secara positif dan konstruktif. Justeru, kemahiran sosial juga amat penting kepada manusia terutama pelajar dalam memburu kejayaan disamping kecerdasan intelek yang tinggi.

Peritiwa “Bersumpah Berteguh Janji” bab 2 Sulalatus Salatin memperlihatkan wacana kemahiran sosial yakni antara pihak raja dengan pihak rakyat sekaligus dapat menggambarkan perhubungan kedua-dua belah pihak dalam menentukan corak atau hala tuju sesebuah kerajaan. Peristiwa itu bermula apabila Seri Teri Buana yang mewakili pihak raja berkahwin dengan Raden Ratna Cendana Puri, anak Demang Lebar Daun yakni mewakili rakyat. Perjanjin atau waad telah dipersetujui oleh kedua-dua pelah pihak sebelum perkahwinan yakni menetapkan golongan raja tidak akan melakukan kezaliman kepada rakyatnya dan golongan rakyat tidak akan menderhaka kepada rajanya melainkan raja dahulu yang menzalimi rakyat. Sekiranya rakyat menderhaka kepada raja, Allah akan menterbalikkan bumbung rumahnya ke bawah dan kakinya ke atas manakala raja menzalimi rakyat, Allah akan membinasakan negeri dan kerajaannya yang diperihalkan :

“……Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman.” Maka sembah Lemang Daun, “janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri Teri Buana, “hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Melayu itu dehaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga…….”( Sejarah Melayu :25-26)

Demikian waad yang ditetapkan untuk meletakkan garis pemisah antara rakyat dan raja yakni relevan hingga ke hari ini. Justeru, pengkaji akan menyedari betapa pentingnya kemahiran membina perhubungan demi perhubungan lebih positif sebagaimana antara raja dan rakyat.

3.0 KECERDASAN INTELEK

Di antara unsur utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang cuba diterapkan oleh guru kepada para pelajar adalah unsur intelek. Unsur ini sering dianggap perkara yang paling penting yang sesuai diterapkan oleh sesetengah guru. Walau bagaimana pun, seseorang guru yang bertanggungjawab tidak sekadar memandang unsur intelek sebagai unsur utama sebaliknya perlu menggabungkan semua unsur untuk disemai dalam jiwa pelajar. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;86) kecerdasan intelek adalah kecerdasan otak atau merujuk kepada kemampuan otak berfikir, memahami dan menaksirkan yakni mengaitkan kecerdasan intelek membantu menyelesaikan masalah dengan cara memikirkan masalah itu secara kritis dan kreatif, mendalami pemahaman masalah itu supaya mencari langkah terbaik bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Unsur intelek memberi tumpuan kepada daya berfikir seseorang pelajar yang meliputi beberapa ciri iaitu mempunyai kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikir secara kritis dan kreatif serta memanfaatkan ilmu untuk diri sendiri dan orang lain. Unsur intelek yang sedia ada pada seseorang atau pelajar tersebut mampu digunakan untuk dikongsi dan digunakan dalam menggerakkan pelbagai aktiviti melibatkan daya fikir. Oleh itu, ciri yang ada pada intelek akan dilihat terkandung dalam Sulalatus Salatin yakni melihat proses daya fikir yang mampu dicungkil dalam mengkaji genre bidang kesusasteraan ini.

Bagi Nik Azis (1999) pengembangan potensi intelek dapat berlaku dalam tiga bentuk iaitu paradigma kebergantungan, ketidakbergantungan yakni boleh berdikari dalam usaha mengembangkan potensi inteleknya iaitu mempunyai kebolehan daya kreatif, visi dan inisiati dan padadigma terakhir iaitu saling bergantung pada orang lain bagi mendapatkan apa yang diingini dan tidak mempunyai daya kreatif, komitmen, kesanggupan, kemahiran dan inisiatif. Justeru, kecerdasan intelek secara umumnya dapat diuji dengan ujian kecerdasan emosi yakni bertujuan menguji sama ada kecerdasan intelek individu itu tinggi atau rendah.

Peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin memperlihatkan pengembangan potensi intelek yakni suatu usaha menggunakan proses daya fikir bagi menaksif sesuatu peristiwa yang berlaku atau telah tercatat. Justeru, melalui ujian kecerdasan intelek maka, sesuatu kecerdasan intelek seseorang dapat dinilai sama ada tinggi atau rendah. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;87) skor markah kecerdasan digunakan bagi menguji sama ada kita berpotensi daripada segi akademik ataupun tidak. Jika markah IQ tinggi, ini bermaksud seseorang berkemampuan menggunakan pengetahuan bagi mencapai matlamat dengan mudah sebaliknya jika markah IQ rendah seseorang akan hanya mencapai matlamat dalam suatu masa yang panjang. Ujian atau peperiksaan merupakan alat yang sesuai untuk menguji potensi intelek individu yakni mengaitkan beberapa aras soalan berkaitan peristiwa yang ada dalam Sulalatus Salatin.

Peristiwa waad “Bersumpah Berteguh Janji” bab 2 contohnya dapat dikaji dan dijadikan soalan bagi menguji IQ seseorang pelajar yakni berkaitan sama ada ciri-ciri atau perlaksanaan waad oleh golongan raja dan rakyat. Guru menyediakan soalan bagi melihat reaksi IQ pelajar tentang pembelajaran yang telah diajar serta dapat mengetahui sama pelajar mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang dibangkitkan melalui soalan. Pelaksanaan waad oleh golongan raja dan rakyat dapat dinilai melalui dua implikasinya iaitu kepatuhan kepada waad dan pelanggaran waad yang membawa balasan. Jika waad dipatuh antara kedua-dua belah pihak maka sesebuah negara berada dalam keadaan aman dan makmur sebaliknya jika waad tidak dipatuhi maka sesebuah negara akan ditimpa bencana seperti dapat dilihat pelanggaran waad oleh pembesar dan rakyat melalui peristiwa penderhakaan Hang Jebat yang diperihalkan:

“……..Maka Seri Nara Diraja pun berdatang sembah: “Tuanku, patik memohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat mengenang hang Tuah, orang yang sudah mati; patik pun adalah khilaf, kerana belum patut hukumnya mati; kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba ke bawah duli yang Dipertuan. Maka titah Sultan Mansur Syah, “sebab itulah maka kita mengenang Si Tuah, Jika ia ada, tadilah sudah diperhapuskan pekerjaan si derhaka itu; saying Si Tuah tiada!......” ( Sejarah Melayu :139)

Peristiwa pelanggaran waad yakni penderhakaan Hang Jebat di Melaka diperihalkan apabila Hang Jebat bangkit membela kematian sahabatnya, Hang Tuah yang dihukum bunuh kerana fitnah. Justeru Hang Jebat bertindak membabi buta yakni menderhaka kepada raja dan seluruh istana dengan merampas istana dan menghalau segala penghuni istana termasuk Sultan Mansur Syah. Maka Sultan Mansur Syah meganggap Hang Jebat sebagai penderhaka sebagaimana pada petikan di atas. Kesan derhaka Hang jebat menyebabkan ia ditikam mati oleh Hang Tuah dan manyatnya dibuang ke laut serta anak dan isterinya turut dibunuh dan kaki tiang rumah dan tanah bekas rumah Hang Jebat digali dan dibuangkan kelaut. Itu adalah salah satu peristiwa pelanggaran waad antara rakyat kepada raja sebagaimana perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Melalui peristiwa ini, pelajar akan dapat mengembangkan IQ dan mengaikan sesuatu peristiwa dengan impak atas perbuatan yang dilakukan. Pelajar yang berpotensi IQ tinggi sememangnya dapat mengaitkan peristiwa ini dalam hujahan yang baik namun sebaliknya pelajar yang IQ rendah memerlukan masa yang lebih untuk memahami dan mengaitkan sesuatu peristiwa bersama hujahan yang baik.

Konsep kesetiaan juga dilihat dapat menguji unsur IQ pelajar sama ada mampu mengaitkan sesuatu peristiwa dan memberi hujahan dengan baik. Kesetiaan yakni akur, taat serta patuh merupaka salah satu nilai daripada kaca mata masyarakat Melayu lama. Menurut Zainal Kling (2009;12) kesetiaan merupakan penyerahan diri secara taat setia tanpa membantah serta sanggup menyumbang kebaktian kepada raja yang tidak terbatas meskipun tindakan tersebut di luar batas kemanusiaan. Penderhakaan merupakan hal utama yang mengangkat konsep kesetiaan yang unggul melibatkan kepatuhan sehingga sanggup bekorban apa sahaja semi memenuhi kehendak serta kemahuan raja. Justeru, bagi pelajar yang mempunyai IQ yang tinggi mampu memberi hujah yang kritis terhadap konsep kesetiaan beserta contoh yang sesuai yakni seperti kesetiaan Tun Perak yang diperihalkan dalam peristiwa “Ditolak Bumi Melaka” bab 7:

“…….Maka orang pun gemparlah; segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun semuanya keluar dengan alat senjatanya. Maka Bendahara Paduka Raja pun keluar bertanya, “Apa sebab gempar ini?” Maka kata orang itu, “Anakanda Tun Besar mati dibunuh oleh Raja Muhammad!” Maka segala perihalnya semua dikatakan orang pada Bendahara Paduka Raja. Maka kata Bendahara, “Mengapatah maka kamu semua berlengkap ini?” Maka sahut segala anak buah Bendahara, “sahaya semua hendak terbalas akan kematian saudara sahayasemua!” maka kata Bendahara Paduka Raja, “Hei! Hei! Hendak derhaka ke bukit? Hendak derhakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan.” Maka segala akan anak-anak Bendahara Paduka Raja pun diamlah sama-sama; masing-masing menyimpan senjatanya. Mayat Tun Besar pun ditanamkan oranglah…..”( Sejarah Melayu :153)

Peristiwa di atas menonjolkan kesetiaan Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang menunjukkan walaupun anaknya Tun Besar dibunuh oleh Raja Muhammad. Tun Besar yang secara tidak sengaja telah menyepak bola sepak raga sehingga mengenai destar Raja Muhammad yang tanpa budi bicara terus menikam Tun Besar hingga mati. Walau bagaimanapun, demi waad dan kesetiaan Bendahara Paduka Raja akan Sultan Mansur dan Raja Muhammad maka ia melarang sahabat-sahabat Tun Besar yang ingin membalas atas perbuatan Raja Muhammad dengan usaha membunuhnya. Kesetiaan dan kepatuhan Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah dapat menyelamatkan keadaan daripada berlakunya penderhakaan anak-anaknya yang akhirnya akan membinasakan antara kedua-dua belah pihak. Akhirnya juga, Sultan Mansur Syah bertindak menghantar Raja Muhammad ke negeri Pahang dan dirajakan di sana yakni sepatutnya menjadi pengganti raja Melaka.

Peristiwa atau konsep yang diperkenalkan dalam Sulalatus Salatin mampu membolehkan pengkaji khususnya pelajar menggunakan idea atau pengalaman sedia ada untuk berfikir dan dapat merungkaikan persoalan sesuatu peristiwa atau tindakan yang dilakukan. Kedua-dua peristiwa di atas adalah beberapa contoh sesuai yang menampakkan cara pelajar memperkembang dan memperkayakan pengetahuan intelek dan akhirnya dapat menjana kecerdasan berfikir sesuai dengan persekitaran yakni relevan untuk dipraktikkan. Sebagai contoh pada hari ini, seringkali sesetengah pihak cuba menjatuhkan institusi diraja dan sekaligus cuba menderhaka walhal raja sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai kuasa tertinggi pemerintahan negara yang patut di daulatkan. Secara tidak langsung pelajar dapat mengaitkan dengan kehidupan masa kini dan memikirkan kesan sekiranya berlakunya penderhakaan dan hilangnya kedaulatan raja yakni masyarakat akan hidup dalam suasana berpecah-belah dan membinasakan sesebuah negara ekoran hilangnya kuasa daulat.

Pembelajaran ke atas genre kesusasteraan mampu mencetuskan kecerdasan intelek yakni mencetuskan tindakan daya fikir seseorang pelajar yang dipelajarinya serta sentiasa berubah dari semasa ke semasa selain dari realiti fakta kecerdasan yang menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid (2003;89) kecerdasan dapat dipelajari dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa sepanjang hayat dan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya lapan jenis kecerdasan kerana otak manusia adalah unik. Lapan jenis kecerdasan ini dikenali sebagai teori kecerdasan pelbagai yang diasaskan Howard gardener (1983) yakni merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat ataupun kemahiran yang wujud secara semula jadi. Menurut David Perkins (1995) lapan kecerdasan yang dikenalpasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Justeru, Sulalatus Salatin dapat dikenal pasti menjadi asas kepada beberapa alat kecerdasan tersebut.

Justeru, kajian teks Sulalatus Salatin mampu mencetuskan kecerdasan intelek adalah bersesuaian dan relevan digunakan pelajar bagi mengembangkan daya kecerdasan intelek melalui peristiwa yang bersesuaian. Genre ini patut dikaji dengan teliti oleh pelajar kerana ia sarat dengan pelbagai unsur dalam usaha mengcungkil potensi minda pelajar kelas pertama.

4.0 KESIMPULAN

Pelaksanaan unsur-unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran merangkumi pengajian kesusasteraan Melayu adalah suatu usaha yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh guru supaya pelajar dapat menjana kecerdasan emosi dan intelek sejajar dengan matlamat Sukatan Pelajaran kesusasteraan Melayu Tingkatan Enam yakni:

“mempertingkatkan pengetahuan pelajar tentang Kesusasteraan Melayu melalui pemelajaran sejarah, teori, kritikan, dan genre sastera. Sukatan pelajaran ini bertujuan untuk menyuburkan pertumbuhan dan perkembangan rohani pelajar menerusi penghayatan karya-karya pilihan yang berfungsi sebagai cerminan kehalusan seni, budi, pemikiran, intelek, penyataan rasa, dan budaya bangsa Melayu”.

Justeru, kedua-dua unsur yakni kecerdasan emosi dan intelek patut diseimbangkan agar pelajar mendapat manfaat hasil pengajian genre kesusasteraan dan sekaligus dapat dipraktikkan dalam hidup bermasyarakat khususnya Malaysia yang hidup bercorakkan kepelbagaian budaya dan norma demi mencapai sasaran konsep 1 malaysia iaitu berketrampilan dalam menjana dan menjadikan kesusasteraan sebagi produk penyatuan bukan sahaja sesama kelompok masyarakat malah kepada sumber-sumber lain seperti alam dan sebagainya seperti yang diperihalkan matlamatnya:

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

Kajian Sulalatus Salatin dianggap relevan sehingga kini dan mampu mengkaji beberapa aspek yang menjadi nadi kepada sejarah peradaban dan ketuanan Melayu. Jadi tidak hairanlah Sulalatus Salatin diangkat menjadi sebuah karya agung yang termuat salasilah keturunan raja-raja yang didaulatkan sehingga kini yakni menjadi nadi kepada negara dan bangsa sebagaimana juga telah menjadi salah satu prinsip 1 Malaysia iaitu kesetiaan merangkumi kesetiaan kepada raja dan negara yang juga menjadi prinsip Rukun Negara kedua wajib dipegang oleh masyaraktnya. Melalaui Sulalatus Salatin inilah bermulanya kecerdasan emosi dan intelek khusunya kepada pelajar yakni generasi baru supaya dapat memahami teras penulisan Tun Sri Lanang yang relevan sehingga kini, juga menjadi nadi kepada pembentukan wilayah 1 Malaysia.