Saturday, January 1, 2011

TAJUK:
ULASAN BUKU “MENGAJAR MEMBACA, TEORI & APLIKASI PANDUAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGAJAR MEMBACA”


1.0  PENGENALAN

Pembacaan adalah aktiviti yang amat penting dalam proses pembelajaran. Oleh kerana itu, setiap mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah telah ditetapkan dengan sebuah buku teks oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukan utama. Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis. Ianya adalah suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya (Kamus Dewan Edisi Baru, 1991). Bagi Yahya bin Othman (2007:1) membaca adalah asas pembentukan diri ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan. Hal ini selaras dengan perintah Allah yang diwahyukan kepada nabi dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang berbunyi :
“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku, bacalah danTuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”
Oleh itu, penekanan utama dalam proses pembacaan sebagai suatu proses komunikasi adalah kefahaman yang mantap. Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda menjadi sukar, malah minat untuk membaca juga boleh menurun. Namun, sekiranya kemahiran membaca adalah cekap, maka proses pembelajaran akan menjadi lebih lancar, faham dan dapat mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca itu. Peranan guru adalah amat penting bagi memastikan murid-muridnya menguasai kemahiran membaca khususnya bagi guru yang mengajar dalam bahasa. Justeru, kajian ini akan mengulas sebuah buku yang bertajuk “Mengajar Membaca, Teori & Aplikasi, Panduan Meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca” edisi kedua oleh Yahya Othman bagi menilai panduan yang telah disarankan kepada guru Bahasa Malaysia di sekolah. 
2.0  SINOPSIS BAHAN KAJIAN
Kajian ini akan mengupas saranan yang dikemukakan oleh Yahya Othman dalam bukunya bertajuk “Mengajar Membaca, Teori & Aplikasi, Panduan Meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca” edisi kedua. Yahya Othman merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan di Universiti Putera Malaysia yang menulis buku ini dan diterbitkan oleh PTS Professional Distributors Sdn. Bhd. Buku ini merupakan hasil cetakan kali kedua yakni sebelum ini pernah dicetak pada tahun 2004 oleh penerbit yang sama.
Buku ini mengandungi sebanyak 198 muka surat, dengan 14 tajuk utama meliputi perspektif membaca, pembaca dan teks, model-model bacaan, memahami bacaan, skema dalam bacaan, metakognisi dalam bacaan, bahan bacaan dan kebolehbacaan, pengurusan dan organisasi bilik darjah, kemahiran berfikir dan membaca, pendekatan dalam mengajar membaca, model aplikasi pengajaran membaca, strategi mempelajari perbendaharaan kata, strategi mengajar membaca teks, dan strategi membaca teks akademik.
Buku ini sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan dan rujukan guru-guru yang mengajar membaca sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah. Dalam konteks kemahiran belajar, buku ini dapat dijadikan sebagai panduan umum terutama kepada pelajar-pelajar peringkat institusi pengajian tinggi. Dari aspek penyampaian pula, buku ini cuba memaparkan dua aspek penting dalam penguasaan membaca iaitu aspek teori dan aplikasi yakni aspek teori membantu guru-guru dan pelajar memahami teori-teori yang mendasari proses membaca dan bagi aspek pelaksanaan pula, ia merangkumi pelaksanaan dalam pengajaran membaca ke atas murid-murid dalam bilik darjah. Maka, kajian selanjutnya akan mengupas beberapa saranan yang dikemukakan oleh penulis.
3.0  ULASAN BAHAN KAJIAN
Berdasarkan buku kajian ini, pengarang yakni Yahya Othman cuba untuk mengetengahkan beberapa teori dan aplikasi bagi meningkatkan kemahiran membaca di kalangan murid-murid dan sesuai dijadikan panduan kepada guru-guru dan bakal-bakal guru. Pada awal isi kandungan buku ini, pengarang cuba menghuraikan konsep atau perspektif membaca sama ada memberikan takrifan yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh akademik dan juga perspektif membaca serta cuba mengaitkan aktiviti membaca dengan sains kognitif.
Ternyata definisi membaca yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh akademik adalah berbeza namun, masih bersandarkan pada aktiviti yang sama. Menurut Harris dan Sipay dalam buku Yahya Othman (2006:3) membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambing-lambang bercetak dan bertulis. Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Kepelbagaian andaian terhadap definisi membaca cuba di disimpulkan oleh pengarang bahawa melalui aktiviti membaca wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran yang wujud dalam minda seseorang.
Dalam perspektif membaca, pengarang telah membandingkan pandangan yang didasari oleh Pearson dan Stephens dengan Samuel dan Kamil ke atas bacaan berdasarkan perspektif tradisional dan baru. Ini mengukuhkan lagi pendekatan yang harus dipraktikkan oleh guru memandangkan pandangan baru lebih ideal kerana pembaca kini dikatakan lebih aktif berbanding pembaca pada pandangan tradisional yang bersifat pasif terutama pada sumber yang diperoleh (Yahya Othman, 2006:7). Hal ini turut disokong oleh Hashim Othman (1995:211) pandangan yang terkini menganggap pembacaan bukanlah proses yang melibatkan pelaksanaan kemahiran-kemahiran kecil secara terasing, tetapi merupakan interaksi serentak pelbagai maklumat untuk mencapai tujuan membaca. Maka, pada isi bahagian buku ini begitu jelas di tulis agar guru dapat mengaplikasikannya dalam bilik darjah bersandarkan pandangan ahli-ahli psikologi kognitif yang membawa hala tuju baru dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca.
Kekuatan buku ini juga dapat dilihat apabila pengarang menjelaskan pembaca dan teks merupakan dua elemen penting dalam menjayakan proses pemahaman. Kelakuan masuk murid-murid perlu dipertimbangkan guru sebelum mendedahkan pelajar dengan proses bacaan serta turut menilai keupayaan bahasanya. Penjelasan berkenaan dengan kategori pembaca juga lebih sistematik berbanding dengan buku yang dihasilkan Safiah Osman (1990:4-5) berpendapat, ada pembaca yang cekap, mahir lagi matang dan sebaliknya, ada pula yang lemah dan kurang mahir. Konsep seperti pemerhati, ambil bahagian, pesintesis dan pembuat keputusan sepertimana dijelaskan Yahya Othman tidak diperhalusi oleh Safiah Osman. Hal ini menambahkan lagi maklumat penting kepada guru selain menerima input sedia ada bagi memastikan murid-murid mencapai objektif dalam menguasai kemahiran membaca dan bahasa.   
Selain menjelaskan aspek dalaman yang mempengaruhi aktiviti membaca, pengarang turut menjelaskan aspek sosiologi yakni faktor luaran yang mempengaruhi kebolehan membaca seperti faktor pembaca sendiri, faktor psikologi, faktor fizikal, faktor persekitaran, sekolah dan lain-lain dapat dijadikan panduan kepada guru-guru bagi meningkat dan menggalakkan tahap bacaan murid-murid. Seterusnya, bahagaian yang melibatkan teori cuba diperjelaskan oleh pengarang dalam kandungan model-model bacaan yang memberi penekanan terhadap jenis-jenis model bacaan.
Pendapat terhadap jenis-jenis bacaan yang dijelaskan oleh Yahya Othman dilihat dari jenis berikut:
1)      Model atas-ke-bawah
2)      Model bawah-ke-atas
3)      Model membaca interaktif
4)      Model membaca psikolinguistik
5)      Model membaca Clay
6)      Model membaca Schraw dan Bruning
Daripada jenis-jenis bacaan yang dijelaskan oleh Yahya Othman di atas, ia dapat memberi kekuatan dalam memperjelaskan isi kepada guru sebagai landasan untuk diamalkan dalam bilik darjah. Misalnya dalam model membaca interaktif yakni penggunaan sumber maklumat sebagai cara yang kompleks semasa proses membaca. Pengarang cuba mencadangkan model ini yang sesuai dipraktikkan guru bahasa dalam bilik darjah yakni menurut Yahya Othman (2006:38) model interaktif mencadangkan pembaca membina makna dengan cara mempunyai kuasa memilih maklumat daripada sumber makna seperti  grafem, fonemik, morfem, sintaksis dan semantik tanpa mematuhi mana-mana set arahan. Maka, model ini dijelaskan lebih dominan dan sesuai dipraktikkan guru dalam bilik darjah serta dapat membantu murid-murid memahami proses membaca.
            Pengajaran bahasa Malaysia yang berkesan adalah penting sekiranya guru menitikberatkan proses pengajaran membaca yang dapat memberi kesan ke atas pemahaman murid-murid dan sejauhmana penguasaan bahasa tersebut. Justeru, buku ini turut memuatkan beberapa teknik dalam proses memahami bacaan dan menghuraikan secara jelas tentang peringkat-peringkat memahami bacaan seperti bacan literal, terjemahan, aplikasi, analisisi, nferens dan penilaian. Pendapat ini turut diperoleh dalam buku yang dihasilkan Safiah Osman (1990:10) bacaan tahap pertama disebut sebagai pembacaan literal, iaitu pembacaan untuk mendapatkan maklumat. Kedua, disebut sebagai pembacaan tahap tinggi, iaitu mambaca sambil merumus, membuat kesimpulan dan menilai. Maka, didapati buku tahap-tahap bacaan ini sudah mula dibincangkan sejak dahulu lagi dengan penambahan beberapa lagi tahap bacaan oleh Yahya Othman.
            Kekuatan pengarang dalam menghuraikan pengajaran membaca di bilik darjah turut menyentuh soal teori skema membaca yakni memperhalusi pendapat yang dikemukakan oleh Piaget dan Anderson. Melalui skema ini murid-murid dapat memahami mesej secara aktif melalui makna atau skema yang dapat menerangkan subjek dan peristiwa dengan baik (Yahya Othman, 2006:69). Hal yang sama dihuraikan dalam artikel yang dihasilkan Hashim Othman (1995:214) penguasaan proses kognitif membolehkan pembaca mahir memilih dan menggunakan strategi membaca yang sesuai untuk mencapai sesuatu tujuan. Maka, didapati dalam amalan pengajaran membaca, guru-guru perlu berinisiatif dalam memperkenalkan bacaan berasaskan domain seperti bacaan intensif, penggunaan pengetahuan latar dan bahan-bahan ilmiah.
            Turut dibincangkan dalam kandungan buku ini adalah berkenaan dengan bahan bacaan yang penting sebagai panduan guru untuk dibebalkan kepada murid-muridnya. Bagi pengajaran guru Bahasa Malaysia, ditekankan bahawa aspek linguistik dan konsep atau topik adalah bahan yang penting untuk diajarkan. Hal ini kerana guru dapat menilai perbedanharaan kata, penggunaan struktur ayat, penggunaan konsep dan tahap pemahaman dan kefahaman murid. Juga ditekankan faktor sosiologi atau persekitaran yakni pengurusan dan organisasi bilik darjah yang sesuai bagi menguasai teknik mengajar yang dapat memikat murid-murid khususnya dalam pengajaran bahasa yang melibatkan proses bacaan. Amalan dan teknik yang sesuai turut disyorkan kepada guru-guru dalam mengajar bacaan.
            Kemahiran berfikir dan membaca turut dihuraikan dengan jelas iaitu amalan yang patut ditekankan guru untuk dipraktikkan dalam bilik darjah meliputi sebelum, semasa dan selepas membaca. Ia dikukuhkan lagi dengan beberapa teknik yang sesuai dalam pengajaran membaca di kalangan murid-murid. Ini adalah penting supaya murid-murid mendapat input yang diperoleh melalui bahan bacaan yang dibaca. Pendekatan dalam mengajar membaca turut diperjelaskan oleh Yahya Othman dengan baik yakni mengesyorkan beberapa pendekatan penting dapat dipraktikkan dalam bilik darjah seperti pendekatan teknologikal, pendekatan pengalaman bahasa, pendekatan membaca individu dan pendekatan membaca berasaskan bahan kesusasteraan. Melalui beberapa pendekatan yang disyorkan, maka ia membantu sedikit-sebanyak kepada guru memilih pendekatan yang sesuai untuk diamalkan dalam pengajaran membaca dalam bilik darjah.
            Aspek yang penting dalam pengajaran Bahasa Malaysia yang melibatkan proses bacaan adalah perbendaharaan kata. Justeru, buku ini jelas memberi landasan kepada guru-guru bahasa dalam strategi mengajar aspek perbendaharaan kata melalui aktiviti pembacaan. Beberapa pendekatan dan teknik yang sesuai disyorkan seperti pendekatan terus yakni menurut Yahya Othman (2006:173) melalui pendekatan terus, pelajar akan mempelajari perkataan dalam senarai atau melengkapkan latihan perbendaharaan kata yang pelbagai. Hal ini penting supaya murid-murid menggunakan perkataan yang diperlukan bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran bahasa secara berkesan. Pengajaran aspek perbendaharaan kata perlu dilaksanakan guru secara terperinci agar objektif penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan murid-murid dapat dicapai.
            Buku yang dihasilkan Yahya Othman ini turut memperjelaskan konsep dan strategi mengajar membaca teks yang diamalkan dalam bilik darjah. Sememangnya pengajaran Bahasa Malaysia tidak dapat dipishkan dengan penguasaan kemahiran membaca. Maka, disyorkan bahawa perlu wujudnya beberapa langkah dan strategi yang sesuai dalam mengetengahkan pengajaran membaca seperti menggunakan teknik penyoalan atau kritikan terhadap teks yang dibaca, membuat ringkasan bahan yang dibaca, pemantauan terhadap bacaan dan stategi pembetulan kendiri. Hal ini dapat menarik minat pelajar membaca dan seterusnya dapat menguasai kemahiran bahasa. Stategi membaca teks akademik secara berkesan turut dijelaskan dengan baik supaya murid-murid tidak bosan dengan bahan yang terlalu formal. Maka, ia dapat memberi panduan berkesan kepada guru-guru untuk dipraktikkan kepada murid-murid dalam pengajaran bahasa di bilik darjah.
            Berdasarkan beberapa topik dan isi kandungan yang dibincangkan oleh penulis, ia dapat menguatkan lagi panduan kepada guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan dalam memberi panduan pengajaran membaca dilaksanakan dalam bilik darjah. Hal ini kerana pada masa kini, pengajaran perlulah dikaitkan dengan komponen teknologi maklumat ataupun ICT dan juga pembelajaran bahasa yang memikat. Pengarang memang menyentuh bagaimana untuk mengajar tentang perbendaharaan kata, strategi mengajar membaca teks dan strategi membaca teks akademik, tetapi sebaliknya tidak menekankan pembelajaran yang berteraskan komponen teknologi maklumat dan juga pembelajaran yang memikat.
Hal ini kerana, murid-murid akan mudah jemu dan bosan dengan pendekatan yang sedia-ada. Sebagai contoh dalam strategi mengajar membaca teks yakni pengarang mengesyorkan pemantauan bacaan digunakan melalui tugasan yang diberikan guru yang mengkehendakkan murid-murid menyatakan bahagian yang sukar difahami semasa membaca kepada guru atau menandakannya pada mana-mana bahagian dalam muka surat teks yang dibaca (Yahya Othman, 2006:69). Justeru, didapati kaedah yang digunakan terlalu formal dan menyebabkan pelajar mudah terasa jemu dan tidak berusaha menarik minat murid-murid untuk melaksanakan tugasan tersebut. Sebaliknya, pengajaran akan lebih berkesan sekiranya komponan teknologi ICT digunakan seperti penggunaan pencarian kumpuan data Data korpus yang digunakan dengan cara mengaplikasikan data korpus bersama perisian (software) Wsmtih. Data korpus dapat digunakan dengan mudah dan berkesan serta dapat menunjukkan struktur ayat yang terkandung dalam data korpus akhbar, artikel dan sebagainya. Justeru, melalui pendekatan teknologi sebegini, murid-murid akan lebih tertarik dan dapat menjadi satu sumber bacaan untuk menguji kefahaman dan kefasihan bahasa mereka.
Melalui penggunaan komponen teknologi maklumat, ia sedikit sebanyak dapat mengubah corak pengajaran dan pembelajaran bahasa sama ada mengajar membaca kepada murid-murid dalam bilik darjah. Hal ini kerana, murid-murid pada masa kini lebih terdedah dengan corak yang baru berteraskan teknologi maklumat. Justeru, pengajaran bahasa turut boleh diajar melalui komponen teknologi maklumat yang dikatakan mampu memikat murid-murid sekolah. Tugas guru adalah penting bagi memastikan murid-murid bersedia dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan membuat pemantauan secara berterusan. Inilah komponen penting masa kini yang tidak dinyatakan oleh pengarang dalam memberi panduan kepada guru untuk melaksanakan pengajaran membaca yang berkesan kepada murid-murid. Walau bagaimanapun, keseluruhan buku ini berjaya dalam memberi panduan dan membantu guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi menguasai pelaksanaan membaca di dalam bilik darjah.
4.0  REFLEKSI
Berdasarkan kajian dan ulasan buku berkenaan Mengajar Membaca, Teori dan Aplikasi, Panduan meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca yang dihasilkan oleh Yahya Othman, didapati ia amat bersesuaian untuk diguna dan dijadikan panduan kepada guru-guru, bakal-bakal guru dan pelajar pusat pengajian tinggi. Hal ini kerana pengarang membincangkan beberapa aspek termasuk, pendekatan, teori-teori, teknik dan strategi untuk diketengahkan dalam pengajaran membaca dalam bilik darjah. Sebagai contoh dalam pemilihan strategi membaca yang memberi panduan kepada guru-guru untuk memilih strategi yang sesuai kepada murid-murid dengan keperluan semasa membaca.  
Panduan ini sesuai digunakan untuk guru-guru dalam mengajar membaca sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Kebanyakan aktiviti membaca hanya tertumpu kepada murid-murid sewaktu di sekolah rendah, namun penting juga kepada guru yang mengajar di sekolah menengah agar proses pembacaan murid-murid dapat mencapai objektif yang disarankan. Sebagai seorang guru, usaha berterusan perlu diambil bagi meningkatkan kemahiran membaca dikalangan murid-muridnya, sebagaimana saranan oleh Hashim Othman (1995:221) bagi meningkatkan kemahiran membaca untuk pembelajaran yang berkesan dan sebagai persediaan masa  depan, guru perlu bersedia melaksanakan perubahan, khususnya yang berkaitan dengan strategi pengajaran dan pemelajaran membaca. Maka, dalam usaha membudayakan aktiviti membaca dalam kehidupan, pembaca perlu memiliki strategi membaca yang sesuai supaya tujuan membaca akan dapat mewujudkan masyarakat berpengatahuan dan ini akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut (Yahya Othman, 2007:194).    
5.0  KESIMPULAN
Tugas guru sebagai pendidik adalah satu tugas dan tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul yakni seharusnya berperanan memberi ilmu kepada murid-muridnya. Hal ini kerana pada zaman ini setiap orang harus memiliki dan menguasai ilmu agar dapat bersaing setanding dengan pemikiran yang berpengetahuan. Justeru, guru bahasa amat penting dalam menyumbang kepada pembentukan murid-murid yang mempunyai daya pemikiran dan kemahiran bahasa yakni mampu membina intelek dengan sebaik-baiknya. Kecekapan dalam berbahasa membolehkan mereka mempelajari ilmu-ilmu lain dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah. Maka, guru harus menekankan proses pengajaran kemahiran membaca di dalam bilik darjah secara saksama ekoran tidak semua murid-murid dalam satu-satu kelas dapat menguasai kemahiran membaca yang baik.
Justeru, buku ini telah memberi beberapa panduan untuk meningkatkan kemahiran membaca dikalangan murid-murid. Hal ini kerana dalam pengajaran melibatkan ramai murid dalam sesebuah kelas, guru perlu mengambil inisiatif dalam mengetengahkan beberapa pendekatan dan teknik yang sesuai supaya setiap murid dapat mencapai tahap penguasaan kemahiran membaca dengan baik. Teknik membaca ini amat penting terutamanya bagi menyediakan pelajar supaya bersifat lebih kritis ke atas bahan bacaannya. Melalui teknik membaca ini juga dapat membantu guru dan murid-murid dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan bacaan secara optimum dan berkesan. Ini semua adalah melibatkan peranan guru yang perlu melaksanakan pengajaran kemahiran membaca secara teratur supaya tidak wujud masalah semasa pengajaran berlansung. Guru juga perlu memilih pendekatan yang sesuai dengan keperluan murid-murid sama ada mengukur kelakuan masuk pelajar atau sebaliknya. Hal ini dapat membantu murid-murid mengausai kemahiran berbahasa yang baik.

No comments:

Post a Comment