Wednesday, March 10, 2010

OLEH: MOHAMAD ROSMIZI BIN MAHAMAD PENSYARAH: PROF. MADYA DR. JELANI HARUN

HKN 202

KAJIAN TEKS MELAYU KLASIK

TAJUK:

Kemukakan secara kritis beberapa bentuk hukuman yang akan diterima oleh seorang raja atau pembesar yang zalim seperti yang diutarakan oleh pengarang “Taj Al-Salatin”.




Teks Taj Al-Salatin (mahkota Raja-raja) merupakan salah satu ciri karya sastera ketatanegaraan atau tergolong dalam sastera adab yang karyanya mengandungi petunjuk-petunjuk kepada raja dan pembesar menjalankan pentadbiran dan pemerintahan negeri. Begitu juga menurut Brakel (1969) menamakan Taj Al-Salatin sebagai karya atau sastra Adab. Teks ini tergolong dalam karya faedah berdasarkan sfera keindahan Braginsky iaitu berada dalam kedudukan ketiga yang berpusatkan Al-Quran. Taj Al-Salatin dikarang oleh Bukhari Al-Jauhari pada tahun 1603. Menurut Zainon Bt. Sheikh Ahmad (1997;311) isi kesusasteraan ketatanegaraan ini merupakan penerangan secara naratif iaitu bagaimana mentadbir sesebuah negeri serta terkandung juga beberapa hukuman bagi raja dan pembesar yang melakukan kezaliman.

Oleh itu, penulisan ini akan menumpukan beberapa bentuk hukuman yang akan diterima oleh raja dan pembesar yang zalim sebagaimana tercatat dalam teks Taj Al-Salatin. Seperti menjadi kebiasaan sekiranya rakyat menerima hukuman jika melakukan sesuatu kesalahan sama ada kecil apatah lagi kesalahan yang berat. Walau bagaimanapun, raja dan pembesar turut menerima hukuman yang setimpal setelah melakukan kezaliman sama ada kepada rakyat, hamba dan dalam pemerintahan sesebuah negeri.

Taj Al-Salatin banyak memperihalkan beberapa bentuk hukuman bagi raja dan pembesar yang zalim. Menurut Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’Man (19196;228) keseluruhan teks ini mengandungi 24 fasal iaitu mencakupi perihal manusia mengenal asal dirinya, peri mengenal Tuhan, peri mengenal dunia, perihal maut, perihal sultan dan hukumannya dan kerajaan, maksud keadilan, dan peri pekerti segala raja-raja yang adil, perihal perbuatan yang zalim, peri pekerjaan segala menteri, peri pekerjaan segala penyuruh dan pesuruh dan segala pegawai. Ia juga memasukkan beberapa huraian tentang kepemimpinan dan managemen yang terdapat dalam Taj al-Salatin kedalam fasal-fasalnya (Kern 1956: 22-24; Braginsky 1998:325). Fasal kesembilan mula membicarakan perbuatan aniaya dan kaitannya dengan pekerti raja yang zalim. Perilaku seseorang raja yang zalim memang dibenci oleh rakyat yang sentiasa dilihat sebagai tempat penganiayaan. Digambarkan bahawa raja yang zalim merupakan bayang-bayang iblis dan khalifah syaitan di muka bumi, sebaliknya raja yang adil merupakan bayang-bayang dan sekaligus khalifah Tuhan di muka bumi (http;//mustolihbrs.wordpress.com).

Bentuk hukuman pertama yang dikenakan kepada raja yang zalim berdasarkan Taj Al-Salatin, ialah akan menerima balasan dari Tuhan di akhirat kelak atas perbuatan aniaya dan kaitannya dengan raja yang zalim. Fasal kesembilan dimulai dengan kutipan ayat Al-Qur’an, Surah al-Mu`min ayat 52, yang menyatakan bahawa pada hari kiamat nanti hukuman terberat akan diterima kepada raja-raja yang zalim. Bukhari mengambil Hadis Nabi yang menyatakan :

“Dua rupa orang daripada umatku yang tiada beroleh syafaatku pada hari kiamat, seorang raja yang zalim, kedua orang yang melebihi lagi dirinya daripada jalan syariat,” dan lagi pula sabda Nabi s.a.w., “empat orang yang sangat murka Allah Ta’ala atas mereka itu, pertama raja yang tiada menghukumkan dengan adil. Kedua penghulu suatu kaum yang kerana murka juga. Ketiga orang yang tiada mengajarkan isi rumahnya daripada pekerjaan agama. Keempat orang laki-laki yang menganiaya atas isterinya akan haknya itu.” (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 103).

Raja yang zalim akan berhadapan dengan balasan Tuhan yang menjanjikan hukuman yang setimpal dengan perilaku yang telah dilakukan terhadap rakyat dan orang bawahan. Antara hukumannya adalah akan dimasukkan ke dalam telaga api neraka yang segala tubuhnya akan diikat serta disiksa dengan pelbagai cara, melambangkan bertapa siksanya seorang raja yang zalim menerima hukuman daripada Tuhan kerana bersikap angkuh dengan kekuasaan yang dimiliki serta menindas rakyat dengan pelbagai kekerasan yang zalim. Menurut Muhamad Kamil Awang (2001;122) Teks Taj Al-Salatin ini sama dengan teks Islam yang membincangkan hal mati, hidup selepas mati dan hari kiamat apabila semua orang dihidupkan semua dan segera perbuatan baik diberi ganjaran dan segala perbuatan jahat akan dikenakan hukuman termasuklah bagi raja yang ingkar dan zalim. Raja seperti ini, biarpun memiliki kekuasaan, namun menyalahgunakannya menyebabkan ia dibalas dengan hukuman yang setimpal di akhirat dengan janji Tuhan sama seperti kitab Tanbih dalam Taj Al-Salatin :

“Adapun dalam kitab Tanbih mengatakan yang aniaya itu suka daripada api neraka adanya. Maka orang aniaya itu barang di mana adanya adalah sertanya neraka qit’ah celaka yang besar zalim itulah daripada celaka ia neraka sentiasa aniaya itulah ia yang neraka jua”. (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 108).

Antara perbuatan zalim yang dilakukan oleh seorang raja ialah mengambil harta atau hasil rakyat secara paksa tanpa belas kasihan biarpun, rakyat atau hamba itu sangat miskin dan memerlukan bantuan. Tidak cukup dengan itu, rakyat dihalau dan diseksa setelah segala harta dan hasil diambil. Raja yang zalim hanya menganggap bahawa dirinya sahaja yang berkuasa dan bebas menginginkan sesuatu daripada rakyat atau hamba yang harus akur dengan kehendak raja itu. Raja zalim juga sering mengikut hawa nafsunya sendiri iaitu sesuka hati mengambil perempauan sebagai tempat melepaskan nafsunya. Biarpun, di dunia ini raja boleh bersikap zalim tetapi akhirnya di akhirat kelak tetap menerima hukuman yang setimpal dari Tuhan yang telah menjanjikan hukuman yang sedia menanti bagi raja yang zalim.

Selain itu, hukuman kedua yang dikenakan terhadap raja yang zalim adalah dari kekuasaan Tuhan iaitu dengan memberi mala-petaka kepada sesebuah negeri dalam pemerintahhannya. Raja tidak sedar bahawa kekuasaan yang dimiliki adalah amat terhad dan terpaksa memikul tanggungjawab besar sebagaimana tercatat pada karya ketatanegaraan Taj Al-salatin. Bagi Mustafa Mohd Isa (1999;206) perbicaraan tentang aspek Taj Al-salatin ialah tentang garis panduan bagi orang atasan untuk memerintah negeri dan ianya amat bermanfaat sebagai panduan kepada semua golongan pemerintah. Sebaliknya raja yang ingkar dan melanggari peraturan yang telah digariskan dengan melakukan perbuatan yang zalim sedia menerima hukuman yang secara langsung tidak di ambil berat oleh para pemerintah.

Kebinasaan sesebuah negeri adalah salah satu kesan mala-petaka dan hukuman akibat perlakuan raja atau pembesar yang zalim. Fasal sembilan Taj Al-Salatin menceritakan beberapa peristiwa bumi atau negeri diterbalikkan dan ditenggelamkan melalui cerita di negeri Basrah dan Asfahan. Kedua-dua negeri ini memiliki raja yang zalim dengan perlakuan penindasan terhadap rakyat tanpa belas kasihan menyebabkan rakyat terseksa dan amat teraniaya antaranya merampas harta, tanah, serta rumah. Akhirnya, dengan memohon kekuasaan dari Tuhan, sekelip mata sahaja habis keseluruhan negeri yang diperintah olah raja zalim itu dibinasakan dan diterbalikan ke perut bumi. Ini menunjukkan kekuasaan Tuhan adalah lebih agung dari kekuasaan yang dimiliki oleh raja selain memberi peringatan kepada raja atau pembesar yang lain supaya tidak mengamalkan perbuatan yang zalim kerana ianya bakal menimpa mala-petaka yang amat dasyat kepada dirinya, keluarga, kerajaan, dan seluruh negerinya sebagai salah satu bentuk hukuman:

“hai mugh, (hlm, 5/21) lihatlah ke belakangmu.”

Maka mugh itu pun melihatlah ke belakangnya. Maka demi dilihatnya

akan kampung raja itu dengan rajanya dan segala menteri dan hulubalang dan barang yang ada dalamnya sekaliannya habislah ditenggelamkan Allah Ta’ala ke dalam bumi dan daripada tempat kampung itu keluar air yang hitam daripada zaman itu …... (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 105-106).

Dalam Taj Al-Salatin diceritakan sorang mugh yang sangat miskin bersama seorang isteri yang sarat mengandung serta seekor keldai di negeri Basrah hendak keluar dari negeri itu untuk mencari pekerjaan supaya dapat menanggung keperluan hidup mereka. Sebaik sahaja melalui pintu negeri, pengawal raja meminta bayaran sebanyak empat dirham kepada sesiapa yang melalui tempat itu. Walau bagaimanapun, mugh itu tidak memiliki sebarang wang dan memberitahu kesusahannya kepada pengawal raja berkenaan. Akan tetapi, pengawal raja itu hanya menurut perintah raja yang tidak bertimbang rasa dan mugh itu dipukul dengan begitu seksa, manakala isteri mugh yang mengandung itu ditolak oleh pengawal raja hingga mengalami keguguran serta keldai kepunyaan mugh itu dikerat ekornya. Tidak cukup dengan itu, mugh diusir dan dipisahkan dengan isterinya menyebabkan mugh mengadu kepada raja, tetapi raja dengan senang hanya bersuka dengan kejadian yang menimpa rakyatnya itu. Mugh amat sengsara dengan perbuatan raja yang zalim itu lalu memohon kepada Tuhan agar membalas perilaku raja yang zalim itu. Akhirnya dengan sekelip mata Tuhan menghukum raja itu dengan mentenggelamkan seluruh negeri pemerintahannya. Ini adalah salah satu balasan tuhan kepada raja yang bersikap zalim terhadap rakyat yang seharusnya menjadi tauladan supaya pemerintahan raja dijalankan dengan sebaik mungkin.

Seterusnya bentuk hukuman ketiga yang dikenakan kepada raja dan pembesar zalim adalah dengan mengaitkan runtuhnya sesebuah kerajaan dengan perilaku raja yang zalim. Raja yang zalim lebih senang bergaul dengan orang bebal dan jahat kerana mudah baginya memperoleh sesuatu yang di anggap sebagai penindasan (http;//mustolihbrs.wordpress.com). Raja seperti ini tidak mengambil tahu keadaan rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri. Bukhari merujuk pada Kitab Adab al-Mulk yang di dalamnya antara lain dikatakan bahawa sebuah kerajaan akan cepat runtuh, apabila rajanya bebal dan zalim, juga kerana pertama, raja tidak memperoleh maklumat yang benar tentang keadaan negeri yang sebenar-benarnya, dan hanya menerima pendapat satu pihak, kedua raja senang melindungi orang jahat, keji, bebal dan tamak iaitu menurut Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’ Man (1996;234) Bermula apabila raja membesarkan segala orang jahat daripada hina budi dan kurang bicara dan banyak tamaknya ia tiada tahu hormat akan segala orang yang mulia dan yang telah padanya segala orang yang besar-besar dan mudahlah pada penglihatan akan segala yang berbangsa itu. Ketiga, iaitu apabila pegawai-pegawai raja senang menyampaikan berita bohong serta menyebar fitnah:

Bermula dalam kitab, Adab Al-Muluk dikata tiga perkara yang menghilangkan kerajaan adanya. Pertama daripada segala khabar kerajaan itu terbunyi daripada raja. Kedua perkara daripada yang dibesarkan raja segala orang jahat asalnya dan kurang bangsanya. Ketiga perkara jiga segala pegawai raja menganiayai atas orang kebanyakan. Adapun akan perkara yang pertama apabila terbunyi segala khabar daripada raja, maka raja itu tiada tahu dalam kerajaan itu,…….. (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 69).

Runtuhnya sesebuah kerajaan dikaitkan juga dengan hukuman bagi raja yang zalim dalam Sejarah Melayu iaitu kejatuhan kerajaan atau negeri disebabkan kezaliman raja dan pembesarnya. Ini berdasarkan Wa’ad Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun yang telah membayangkan kebinasaan ini dengan menyatakan raja yang zalim tidak akan kekal memerintah negerinya ( Cheah Boon Kheng, 1992;22). Sebagai contoh Paduka Seri Maharaja yang memerintah Singapura, telah melakukan pembunuhan yang telah melanggar hukum syarak. Tuan Jana Khatib dihukum bunuh kerana menunjukkan kesaktian membelah pohon pinang, pembunuhan budak pintar setelah Singapura di langgar todak, kisah Sang Rajuna Tapa memperlihatkan betapa kejamnya raja Singapura. Namun, balasan kekejaman raja tersebut menyebabkan negerinya diserang oleh Majapahit. Ini menunjukkan salah satu bentuk hukuman kepada raja yang zalim membolehkan negerinya dibinasakan oleh pihak lain.

Bentuk hukuman keempat yang akan diterima kepada raja atau pemerintah yang zalim adalah kehilangan tahkta dan pewaris pemerintahan akibat dari perbuatan zalim yang dilakukannya. Kesan perbuatan kezaliman yang dilakukan oleh raja menyebabkan keseluruhan keluarga, waris dan negeri musnah sama ada ditawan oleh pihak musuh atau dibalas dengan kuasa Tuhan yang menjanjikan hukuman yang berat. Biarpun waris raja zalim tidak melibatkan diri dengan perbuatan yang zalim, namun ia tetap dihukum bagi menunjukkan betapa pentingnya keadilan dalam sesebuah pentadbiran. Oleh itu jurai keturunan para pemerintah haruslah terdiri dari golongan yang taat dengan perintah Tuhan serta mengamalkan corak pemerintahan yang baik dengan tidak melakukan sebarang penganiayaan atau kezaliman terhadap rakyat dan negeri. Sekiranya raja melakukan penganiayaan yang zalim terhadap rakyat, maka binasalah keturunan dan merosakkan nama keturunan raja itu hingga menjadi peristiwa hitam dalam sejarah.

Dalam Taj Al-Salatin, banyak perihal menceritakan perbuatan aniaya yang zalim raja terhadap rakyat atau hamba. Ini menyebabkan rakyat menatap penderitaan yang tidak terperi dan akhirnya memohon kepada Tuhan memberi petunjuk akan perbuatan raja yang zalim. Oleh itu, segala raja yang zalim menerima hukuman dari kekuasaan Tuhan iaitu segala kusa yang ada, kedudukannya sebagai raja yang penuh dengan keistimewaan habis dibalas oleh Allah. Bukan sahaja setakat dirinya sahaja dibalas dengan kekuasaan Tuhan, malah turut melibatkan segala perihal keluarganya, orang yang berpengaruh, orang suruhannya dan hamba sehingga habis negerinya dibinasakan dan tiada apa yang tinggal walaupun seorang keturunan raja yang zalim itu. Ini dapat dilihat dalam petikan :

Maka dilihatnya akan kampung raja itu dengan rajanya dan segala menteri dan

hulubalang dan barang yang ada dalamnya sekaliannya habislah musnah ditenggelamkan Allah Ta’ala ke dalam perut bumi dan daripada tempat itu......(Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 105).

Apabila dilihatnya ke belakang, maka mahligai itu, dengan raja dan segala menteri dan segala orang kaya-kaya dan segala hamba raja itu habis ditenggelamkan Allah Ta’ala ke dalam bumi semuanya dan keluarlah daripada tempat itu asap api hingga zaman ini mengatakan ada tandanya tempat mahligai yang tenggelam itu dalam tanah dengan murka Allah Ta’ala lagi datang pada hari ini. (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 107-108).

Perihal hukuman ini menyebabkan raja tidak mempunyai sebarang bentuk jurai keturunan lagi dan pemerintahannya berakhir dengan balasan Tuhan yang amat dasyat. Ia sekaligus menggambarkan kepimpinan yang adil perlu diwujudkan bagi meneruskan generasi yang sejahtera. Pemerintahan seharusnya mengamalkan prinsip keadilan Kitab Adab al-Mulk yang di dalamnya antara lain dikatakan bahwa sebuah kerajaan akan cepat runtuh, apabila selain karana rajanya bebal dan zalim, juga karena : Pertama, raja tidak memperoleh informasi yang benar dan rinci tentang keadaan negeri yang sebenar-benarnya, dan hanya menerima pendapat satu pihak atau golongan; kedua, raja senang melindungi orang jahat, keji, bebal, dan tamak; ketiga, pegawai-pegawai raja senang menyampaikan berita bohong, menyebar fitnah, membuat sangkaan yang menyulut konflik (http://mustolihbrs.wordpress.com). Sikap yang sebegini tidak harus ada pada seorang raja yang akan bersilih ganti dan seterusnya menjadi ikutan pada pemerintahan yang akan datang. Jika tidak, maka hancurlah negeri berkenaan tanpa meninggalkan pewaris untuk mentadbir di sesebuah negeri demi mewujudkan kesejahteraan dalam pemerintahan atau pentadbiran.

Bentuk hukuman kelima dilihat kepada pembesar yang zalim yang akan dihukum gantung. Hukuman gantung ini dikenakan kepada menteri yang bertindak menlampaui batas dengan melakukan penganiayaan kepada rakyat atau golongan bawahan seperti mengambil harta dan menyiksa rakyat melalui pelbagai cara. Perlakuan menteri seperti ini seolah-olah ingin menguasai tahkta raja dan ternyata sikapnya tidak disenangi oleh rakyat dan hamba menyebabkan berlakunya ketidak-puasan golongan rakyat terhadap pembesar. Akhirnya ketidak-puasan rakyat kepada pembesar yang bersikap zalim diadili setelah raja mengambil tindakan bagi mengecam perlakuan menteri yang menganiaya rakyat dan hamba itu. Raja membuat keputusan dengan menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perlakuan yang dilakukan itu demi melindungi kesejahteraan rakyat dan hamba serta turut mengembalikan kuasa dan tahkta yang dimiliki itu. Sepatutnya menteri harus menjalankan pemerintahan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya dengan kuasa yang diamanahkan untuk menjalankan pentadbiran dengan tidak menyalahgunakan kuasa serta menganiayai rakyat dan hamba (Mustafa Mohd Isa 1999;209).

Dalam Taj Al-Salatin menyatakan perihal raja Kashtasab yang mengenakan hukuman gantung terhadap seorang menteri bernama Rasat Rushan yang melakukan perbuatan zalim terhadap rakyat, pentadbiran dan negara. Menteri ini bertindak di luar jangkaan dengan melakukan perbuatan yang zalim iaitu merampas segala harta rakyat secara paksa tanpa pengetahuan raja setelah kuasa yang diamanatkan dan dipertanggungjawabkan oleh raja diberi kepadanya. Kesan dari perbuatannya itu, menyebabkan seluruh rakyat negeri itu menderita dan akhirnya tidak terdaya untuk melawan musuh yang menyerang negara berkenaan kerana kebuluran akibat segala harta dan hasil diambil oleh menteri yang zalim itu. Akhirnya, negara itu jatuh ke tangan pihak lawan yang rajanya amat seteru dengan raja Kashtasab. Raja Kashtasab amat dukacita dengan kejadian seperti itu dan akhirnya mengetahui bahawa punca kejatuhan negaranya akibat khianat dan kezaliman menterinya. Sebagai hukuman, raja telah menghukum gantung menteri yang zalim itu di hadapan pintu negeri.

Maka raja pun menyuruhsuratkan tamthil itu dengan emas dan dilekatkan pada pintu negeri dan menteri itu digantungkan pada hadapan pintu negeri seperti anjing itu yang tergantung pada pintu. (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 122).

Oleh itu, kebinasaan yang menimpa sesebuah negara juga dikaitkan dengan perilaku seseorang menteri atau pemerintah yang bersikap zalim terhadap rakyat, pentadbiran dan Negerinya. Hukuman gantung atau bunuh yang dikenakan kepada menteri yang zalim patut dilaksanakan sebagaimana yang tercatat dalam teks Taj Al-Salatin. Ini secara tidak langsung memberi pengajaran serta peringatan kepada menteri-menteri lain supaya tidak melakukan perbuatan yang zalim, sebaliknya harus melaksanakan pentadbiran yang sebaik-baiknya sepertimana yang di sarankan dalam Taj Al-Salatin iaitu seorang menteri harus memelihara sebanyak dua puluh syarat antaranya :

Syarat yang pertama, hendaklah menteri itu membuat kebaikan akan hak Subhanahu wa Ta’ala seperti kehendak itu kebaktian daripada segala orang yang di bawah hukumnya. ……

Syarat yang kedua puluh hendaklah menteri itu kelakuannya (hlm. 6/16) elok dan perangainya lembut manis dan pekertinya baik akan mengerjakan segala pekerjaan yang benar dan harus dijauhkan segala pekerjaan yang tiada benar dan tiada harus…… (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 123-128).

Perbincangan mengenai hukuman yang dikenakan kepada raja atau pembesar yang melakukan perbuatan yag zalim adalah perlu dijadikan sebagai landasan kepada raja atau pembesar yang lain supaya melaksanakan pentadbiran yang sebaik-baik dan seadil-adilnya. Raja atau pembesar mempunyai tanggungjawab yang besar sebagaimana yang diamanahkan oleh Tuhan supaya menjalankan pemerintahan yang sempurna kerana ia merupakan janji dan tidak harus mungkar iaitu dilihat seperti :

Adapun jikalau dilihat segala rakyat itu rajanya jahil dan zalim menganiaya atas segala rakyat, maka raja itu tanda murka Allah Ta’ala jua akan segala rakyat haruslah mereka itu takut daripada murka Allah Ta,ala dan taubat daripada segala (hlm 9/27) perbuatan yang salah dan mengucap istighfar dan memberi khidmat akan segala fakir dan miskin dan minta doa daripada segala orang yang saleh supaya Allah Ta’ala memelihara daripada segala kejahatan rajanya itu tanda bela Allah Ta’ala jua di atas mereka itu. (Taj Al-Salatin; diselenggara hlm 219).

Maka, teks Taj Al-Salatin amat relevan khsusunya dijadikan panduan kepada para pembesar atau pentadbir untuk menjalankan pentadbiran yang sebaik-baik dan seadil-adilnya. Raja yang adil seperti Umar bin Khattab, Harun al-Rasyid, Umar ibn Abdul Aziz, Abdul Rahman dan Nusyirwan (raja Parsi abad ke-6 M dari Daulah Sassaniyah) dapat dipandang sebagai khalifah Tuhan dan perlu menjadi saduran atau contoh yang baik untuk menjalankan pentadbiran sesebuah negeri dan ianya juga digelar sebagai Zill Allah fi`l-ardh (Bayang-bayang Tuhan di muka bumi). Sedangkan raja yang zalim, selain bebal dan tidak peduli terhadap ilmu pengetahuan, juga aniaya terhadap dirinya, Tuhannya dan manusia lain. Mereka ini lebih senang dengan hawa nafsunya serta kehendak individualistiknya dan sentiasa bersikap kejam terhadap rakyatnya. Disebabkan itu mereka ini digelar sebagai Bayang-bayang Iblis dan Khalifah syaitan di muka bumi.

BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’ Man. (1996) “Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan

Islam”. Dewan Bahasa Dan Pustaka (Kuala Lumpur).

Brakel, L. F. (1969). “Persian Influences on Malay Literature”. Abr. Narrain Jil. IX/9:407-26

Bukhari Al-jauhari Disenggara Khalid M. Hussain. (1992). “Taj Al-Salatin”. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia (Kuala Lumpur).

Braginsky, V. I. (1998). “Yang Indah, Berfaedah dan Kamal: Sejarah Sastra Melayu Dalam Abad 7 – 19 M”. Jakarta: INIS.

Cheah Boon Kheng. (1992). “Ketidakadilan Raja Dan Keruntuhan Kerajaan Melaka : Pengadilan Moral Di Dalam Sejarah Melayu”. Universiti Sains Malaysia.

Kern W. (1956). “Commentaar op de Salasilah van Kutai”. `s-Gravenhage: Martinus Nijhoff (KITLV, VKI 19).

Mustafa Mohd Isa. (1999). “Sastera Melayu Klasik Bercorak Islam”. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Universiti Sains Malaysia.

Muhammad Kamil Awang. (2001). “Sultan Dan Perlembagaan”. Dewan Bahasa Dan Pustaka. (Kuala Lumpur).

Zainon Bt. Sheikh Ahmad. (1997). “Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional”. Elman (Kuala Lumpur).

http;//mustolihbrs.wordpress.com/2008/07/17/taj-al-salatinmanajemen-pemerintahan- dalam-Melayu-Islam.

No comments:

Post a Comment